KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) sedang melaksanakan langkah penguatkuasaan dan pengesanan aliran wang serta pindahan bank milik syarikat Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd (Al-Rawda).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah berkenaan ialah bagi proses pemulihan hutang dengan kerjasama pihak berkaitan di Arab Saudi.

Menurutnya, perjanjian dimeterai bersama Al-Rawda antara 2014 dengan 2017 ialah antara pelaburan pajakan legasi, dengan TH memajak empat rangkaian hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh jangka panjang.

“TH sudah mengambil tindakan undang-undang serta prosiding penguatkuasaan di mahkamah Arab Saudi berkenaan Nota Janji dikeluarkan Al-Rawda dan dijamin pemiliknya sendiri.

“Ia selepas Al-Rawda gagal membuat bayaran mengikut perjanjian bagi tempoh yang lama,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, pada malam 26 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Dr Zulkifli berkata prosiding timbang tara sudah dimulakan oleh Al-Rawda terhadap TH pada 2021, di mana Al-Rawda diarah membayar 899 juta riyal Saudi ($307.52 juta) kepada TH.

“TH dan Al-Rawda menandatangani Perjanjian Penyelesaian pada 27 November 2024 berkaitan cara pembayaran ‘award’ (keputusan) timbang tara terbabit.

“Al-Rawda hanya berjaya membayar sebahagian daripada jumlah terbabit iaitu sebanyak 14.9 juta riyal Saudi Riyal.

“Namun, mereka masih gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian walaupun tempoh lanjutan diberikan oleh TH. Perjanjian Penyelesaian ditamatkan pada 15 Januari 2025,” katanya.

Dr Zulkifli berkata TH sudah mengemukakan surat aduan berhubung kegagalan Al-Rawda kepada Gabenor Makkah pada September 2025.

TH memandang serius perkara itu dan komited menjaga kemampanan portfolio pelaburan berasaskan tahap toleransi risiko bersesuaian, ujar beliau.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia membentangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH pada Ogos lalu, yang mendapati 14 pelaburan bermasalah.

Ia termasuk melibatkan proses kelulusan projek yang mencurigakan, termasuk kejadian penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.

Tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100 peratus nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda melibatkan nilai RM1.8 bilion ($560 juta); Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).

Menyusuli pendedahan dalam RCI itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 14 September lalu.

Beliau didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga TH melupuskan wang RM860,308,770.51 milik TH kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd (Al-Rawda).

Datuk Jamil Khir, 65 tahun, yang juga mantan Ahli Parlimen Jerai mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu.