KUALA LUMPUR: Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) – syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan untuk membantu dalam memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) – mencatatkan kerugian terkumpul RM13.2 bilion ($4.13 bilion) pada akhir 2025.

Kementerian Kewangan Malaysia berkata kerugian terkumpul UJSB itu adalah melalui pengambilalihan dan pemulihan aset LTH yang tidak berdaya saing, terutama akibat penurunan nilai aset dan kos keuntungan sukuk ditanggung syarikat itu.

Kementerian itu berkata UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion pada 2018.

Perbezaan RM10.2 bilion ialah premium yang diberikan kepada LTH bagi membantu pemulihan kewangannya, tetapi menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui penurunan nilai aset.

“Selain itu, kos keuntungan sukuk yang terkumpul kepada LTH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul UJSB.

“Dengan kata lain, kos sukuk yang ditanggung UJSB ialah pendapatan keuntungan terkumpul kepada LTH.

“Kedua-dua komponen ini ialah penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025,” kata kementerian kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 23 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Kementerian kewangan menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, mengenai nilai aset bersih, jumlah liabiliti dan kerugian terkumpul UJSB berdasarkan penyata kewangan terkini serta nilai semasa aset yang dipindahkan daripada Tabung Haji (TH).

Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga meminta kementerian kewangan menyatakan sama ada UJSB berkeupayaan memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan kerajaan.

Menurut kenyataan kementerian kewangan itu, kerugian terkumpul itu perlu dibezakan daripada prestasi operasi UJSB.

Kementerian kewangan berkata UJSB secara tekal mencatat keuntungan operasi sejak 2019, termasuk RM297 juta bagi tahun kewangan 2025.

Menurutnya, nilai aset di bawah pengurusannya juga meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.

“Usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah daripada harga pengambilalihan,” katanya.

LTH sebelum ini mengalami krisis defisit dan kerugian pelaburan yang kritikal pada 2018 akibat masalah salah urus pelaburan.

Kementerian kewangan berkata kerajaan sudah menyediakan peruntukan RM1 bilion kepada UJSB bagi tujuan penebusan awal sukuk, sekali gus memperkukuh aliran tunai LTH, bagi 2027.

Kementerian turut komited menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“Sebelum ini, peruntukan tidak dapat disediakan seperti dirancang kerana kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Komitmen ini diteruskan bagi menyokong UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping memulihkan aset secara berhemat,” katanya.