KLUANG (Johor): Ajal belum tiba buat sepasang suami isteri, walaupun berdepan enam das tembakan dalam cubaan bunuh di kediaman mereka dekat Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, pada tengah hari 10 Februari.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Bahrin Mohd Noh, berkata pasangan itu bernasib baik kerana peluru yang ditembak itu tersasar ke sekitar tempat kejadian.
“Pada 12.17 tengah hari (10 Februari), seorang wanita yang berada di rumah ternampak sebuah kereta Perodua Bezza memasuki halaman rumahnya.
“Wanita yang berada di hadapan pintu rumah itu didatangi tiga lelaki sebelum seorang daripada suspek mengeluarkan pistol dari pinggang dan melepaskan empat das tembakan ke arah pengadu dan suaminya.
“Suspek kemudian melarikan diri sambil melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya sambil menambah bahawa tiada sebarang kecederaan dialami mangsa, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Bahrin berkata motif kejadian masih disiasat dan polis berjaya menahan seorang daripada suspek dikenali sebagai Man Tiger yang dikesan mempunyai 27 kes jenayah lampau.
“Suspek dikenali sebagai Man Tiger, 32 tahun, berasal dari Simpang Renggam dikesan positif dadah jenis methamphetamine susulan saringan air kencing yang dijalankan,” katanya.
Encik Bahrin berkata pihaknya juga telah mengenal pasti tujuh lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan kini diburu polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ketika diminta mengulas lebih terperinci mengenai kes itu, Encik Bahrin berkata semuanya masih dalam siasatan polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg