Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bot Indonesia ditembak pegawai maritim M’sia mungkin terlibat seludup dadah, senjata

Feb 4, 2025 | 2:54 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kejadian tembakan oleh pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhadap sebuah bot Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor, yang menyebabkan kematian seorang pendatang asing dan mencederakan empat yang lain, mungkin diperluaskan kepada kes penyeludupan dadah dan senjata api.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang memberikan penjelasan lanjut mengenai kejadian pada 24 Januari itu, yang mencetus ketegangan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia, berkata semua warga asing itu tidak mempunyai dokumen.

Beliau berkata polis telah menahan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai pengangkut yang membawa masuk dan keluar warga asing tanpa sebarang dokumen.

“Siasatan awal mendapati dia ada kaitan dengan bot yang dikejar APMM. Siasatan ini masih di peringkat awal dan kita tidak menolak kemungkinan soal siasat terhadap mereka yang ditahan diteruskan.

“Ia mungkin membawa kepada pembukaan kertas siasatan mengenai pengedaran dadah atau senjata api, berdasarkan siasatan kes sama (pada masa lalu),” katanya, yang menjelaskan tembakan itu adalah tindakan terakhir yang diambil pegawai APMM selepas amaran tidak dihiraukan pendatang Indonesia itu, lapor portal berita Free Malaysia Today.

Datuk Saifuddin berkata polis turut menyiasat anggota APMM yang terlibat melepaskan tembakan itu dan beliau kini diberi cuti untuk siasatan lanjut kes itu dijalankan.

“IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Banting (Selangor) tidak lagi mengendalikan siasatan berkenaan. Ia diambil alih Bukit Aman kerana kami mendapati ia berpotensi membawa kepada siasatan lebih serius,” jelasnya.

Datuk Saifuddin berkata wakil daripada Kedutaan Indonesia telah bertemu warganya yang cedera dan dalam tahanan reman itu di hospital.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyuarakan keyakinan Malaysia akan melakukan siasatan menyeluruh ke atas insiden tembakan ke atas pendatang asing Indonesia oleh APMM.

Agensi berita Indonesia Antara melaporkan seorang terbunuh, manakala empat cedera semasa kejadian itu sedang mereka cuba keluar dari Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjanji siasatan telus dilaksanakan dan mengarahkan laporan awal siasatan dihantar kepada Indonesia menerusi kedutaannya di Malaysia.

Kejadian itu menyebabkan Kedutaan Malaysia di Jakarta dibaling telur pada 30 Januari oleh anggota kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja yang marah mengenai kejadian tersebut.

Jakarta turut mengeluarkan nota diplomatik kepada Malaysia dan Encik Prabowo menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg