KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, meluahkan kebimbangan tanah di Pahang mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan berikutan kurangnya nilai integriti.
Baginda berkata sebagai contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tempatan tetapi kini disewakan kepada warga asing.
“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.
“Lebih mendukacitakan lagi warga asing mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.
“Oleh itu, saya mahu kerajaan saya memantau aktiviti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku.
“Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada saya. Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara.
“Laksanakanlah amanah yang diberi ini dengan penuh integriti dan ingatlah setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” ujar beliau, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sultan Abdullah berkata demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini pada 30 Julai.
Di samping itu, beliau menggesa rakyat Pahang bekerjasama memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
“Saya juga ingin kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands, khususnya pembangunan pada masa akan datang.
“Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh, tegas dan lestari akan dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg