Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lonjakan pelancong di Cameron Highlands: Kafe hipster naikkan harga makanan

Jul 24, 2024 | 5:33 PM
Cameron Highlands, Pahang, yang terkenal dengan cuaca sejuk dan ladang teh, menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Cameron Highlands, Pahang, yang terkenal dengan cuaca sejuk dan ladang teh, menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. - Foto FACEBOOK GROUP TOUR GUIDE CAMERON HIGHLANDS

KUALA LUMPUR: Pelbagai tarikan baru, selain kafe francais dan hipster yang tumbuh bagai cendawan terutama di lokasi pelancongan di Pahang sejak beberapa tahun ini, dilihat telah menyumbang kepada kenaikan harga makanan.

Perkara itu diakui penduduk setempat dan pengusaha sektor pelancongan termasuk pemilik inap desa, Blue Cabins di Cameron Highlands, Tengku Zulfadzil Tengku Mohamed Ariffin, khususnya di kawasan tarikan baru antaranya Taman Bunga dan perkampungan Hobbiton yang menarik ramai pelancong.

“Kenaikan harga makanan di kawasan itu menjejas kebanyakan harga makanan terutama yang tular dan digembar-gemburkan di media sosial. Terdapat penjual yang mengambil kesempatan menaikkan harga apabila ramai pelancong datang.

“Sebagai contoh, harga nasi lemak dengan sebarang hidangan ayam boleh mencecah RM18 ($5.18) hingga RM19 sepinggan. Harga makanan ringan yang popular di Cameron seperti scone dan kek juga semakin mahal, terutama pada musim cuti dan hujung minggu,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

Tengku Zulfadzil berkata tindakan tidak bertanggungjawab peniaga menaikkan harga makanan telah mencemar imej Cameron Highlands di mata pelancong.

“Bukan saja harga makanan meningkat, malah kos keperluan asas lain termasuk pengangkutan, tarif elektrik, air, cukai, dan sewa turut naik. Ini disebabkan permintaan melebihi penawaran. Kami sendiri mengelak makan di luar untuk menjimatkan kos,” katanya, lapor The Star.

Bagi Encik Azatul Afzan Mat Dui, yang tinggal dan bekerja di Raub, Pahang, berkata hampir mustahil untuk menemui hidangan makan tengah hari dengan harga berpatutan di bawah RM10 di restoran di kawasan pelancongan itu.

“Saya selalunya akan ke gerai makan untuk makan tengah hari, kerana di situ saya boleh dapatkan makanan pada harga kurang RM10. Saya perhatikan banyak gerai yang naikkan harga jualan, contohnya sebungkus nasi lemak naik RM1 iaitu daripada RM1.50 kepada RM2.50,” kata pembantu tadbir berusia 32 tahun itu.

Pencinta kopi, Cik Normasaidatul Fasihah Mohd, berkata beliau menyedari harga kopi di kafe di Bentong juga semakin mahal, berikutan kemunculan banyak kedai baru, terutama selepas pandemik Covid-19.

“Kenaikan harga menjejas perbelanjaan harian untuk makanan dan kami perlu bijak memilih,” katanya yang memperuntukkan sekitar RM10 hingga RM20 sehari untuk makanan.

Penjaja dan pemilik medan selera Layan Koner di Raub, Encik Ahmad Sabri, berkata persaingan daripada penjual makanan lain dan kos bahan mentah yang tinggi memberi cabaran kepadanya untuk menjual makanan pada harga rendah.

“Harga makanan mentah di pekan kecil seperti Raub juga lebih mahal, berbanding dengan bandar besar di mana barangan ini lebih mudah didapati,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg