IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, memberitahu semua pihak agar tidak mensensasikan atau mengeksploitasi isu krisis tenaga sejagat susulan perang di Timur Tengah bagi tujuan politik sempit.

Sebaliknya, beliau mengingatkan semua pihak agar mencari titik pertemuan, selain menunjukkan kesepaduan memandangkan negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan ekoran krisis itu.

Sultan Perak berkata dalam keadaan ini rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis sedang berlaku serta kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian, lapor Berita Harian Malaysia.

“Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit.

“Tunjukkan semangat bersatu, saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

“Buktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu; merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang sangat membimbangkan ini demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” ucapnya ketika merasmikan pembukaan tahun keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Dewan Negeri, di Ipoh, Perak, pada 14 April.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa negara perlu membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan krisis sejagat berpanjangan yang membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau dan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuh, di samping memastikan keterjaminan makanan, kestabilan kewangan dan perpaduan rakyat dipelihara agar negara tidak mudah terpengaruh sentimen dan sensasi.

Dalam menghadapi cabaran besar juga, beliau berkata rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menghayati semangat berganding bahu membantu negara melalui detik sukar dengan mengamalkan sifat berhemah dan berjimat cermat.

“Di samping usaha dirintis kerajaan, rakyat mempunyai tanggungjawab. Bantu mengurangkan penggunaan bahan api seterusnya mengurangkan subsidi kerajaan.

“Rakyat hendaklah bijak mengamalkan gaya hidup berjimat tenaga melalui penggunaan elektrik yang terkawal, di samping mengamalkan budaya penjimatan dan mengelakkan pembaziran terutama bahan makanan,” katanya lagi.

Sultan Nazrin menambah, kerajaan Perak di bawah naungan beliau sewajarnya mengambil iktibar dengan krisis sedang berlaku dengan tidak berpeluk tubuh dan bersikap pasif, sebaiknya melihatnya sebagai ‘loceng amaran’ untuk merintis langkah proaktif.

Ia termasuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penyelesaian jangka panjang, selain segera melakukan usaha membangunkan kemudahan untuk menggalak rakyat memiliki pilihan supaya boleh beralih kepada tenaga alternatif termasuk kenderaan elektrik dan sumber tenaga boleh diperbaharui, solar dan hidro.

“Usaha peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, disegerakan dan dilaksanakan secara bersungguh.

“Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan,” tegas Sultan Nazrin.