Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor bantah perhimpunan berkait LGBT

Jan 13, 2026 | 4:19 PM
Sultan, Selangor, LGBT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto FACEBOOK ROYAL SELANGOR OFFICE

Acara ‘Glamping with Pride’ yang dikaitkan dengan masyarakat pengamal gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual, transjantina (LGBT) mendapat bantahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengarahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam program itu. 

Sebelum ini, terdapat gesaan daripada banyak pihak supaya program berkenaan yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, Selangor pada 17 dan 18 Januari itu dibatalkan.

Namun, penganjur iaitu sebuah kumpulan dikatakan pro-LGBT dikenali sebagai Jejaka, dilaporkan tetap mahu program itu diteruskan.

Penganjur mendakwa program yang diadakan hanyalah satu perhimpunan berasas masyarakat bagi memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Sultan Sharafuddin meminta diusahakan satu pertemuan dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin, dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, pada 12 Januari untuk menyampaikan pendirian tegasnya berhubung penganjuran ‘Glamping with Pride’.

Dalam satu kenyataan bersama Datuk Salehuddin dan Datuk Anhar, dikatakan Sultan Sharafuddin menzahirkan tentangan keras terhadap sebarang penganjuran program melibatkan LGBT di Selangor.

“Walaupun perbuatan itu melibatkan dosa individu dengan Allah swt yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah swt ke atas negeri ini (Selangor).

“Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.

“Sultan Sharafuddin turut tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBT di Selangor,” katanya dalam kenyataan itu.

Datuk Salehuddin dan Datuk Anhar turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menghalang serta tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit serta program seumpamanya di Selangor, seperti diarahkan Sultan Sharafuddin.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, dilapor berkata, negara tidak boleh bersikap longgar atas nama toleransi palsu sehingga menggadaikan nilai, akhlak dan masa depan masyarakat dengan membenarkan program berkaitan LGBT diadakan.

Pada 12 Januari, penduduk kampung sekitar Hulu Langat membuat laporan polis, terhadap penganjuran program perkhemahan berkenaan yang didakwa berunsur pergaulan songsang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pada 12 Januari berkata pihaknya melalui Jais bersama PDRM akan mengambil tindakan proaktif dan memantau isu dengan rapat, bagi memastikan program, ‘Glamping with Pride’, tidak diteruskan.

Sebelum ini, Malaysia pada akhir November 2025 dikejutkan dengan serbuan sebuah spa dan pusat kesihatan yang dipercayai dijadikan sarang lelaki gay, dan membawa kepada penahanan 201 pengunjung termasuk lelaki Muslim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg