KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggesa SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa jua bentuk penerbitan di mana-mana wadah yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Syarikat SIS Forum (Malaysia) ialah nama berdaftar rasmi kumpulan hak asasi wanita Malaysia, SIS.
Sultan Sharafuddin membuat gesaan itu bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat Islam, selepas menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa Selangor yang tidak terpakai kepada SIS Forum, pertubuhan atau institusi.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.
“Penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office.
Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun membenarkan permohonan SIS Forum dan pengasasnya, Cik Zainah Mahfoozah Anwar, membatalkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014, yang mengisytiharkan pertubuhan hak asasi wanita itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa ‘fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama’ yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah sah, namun tidak terpakai kepada SIS Forum kerana entiti itu merupakan ‘orang buatan’ seperti syarikat atau pertubuhan.
Mahkamah memutuskan perkataan ‘orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang sebenar dan bukan ‘orang buatan’ seperti syarikat atau pertubuhan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu turut mengundang reaksi pelbagai pihak berkepentingan dalam perundangan dan hal ehwal Islam.
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam kenyataannya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun tidak sependapat dengan sebahagian daripada keputusan dan berdukacita kerana ia secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan penggunaan fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.
Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin, berkata pihaknya bimbang keputusan mahkamah itu akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam syarikat, pertubuhan atau institusi untuk mengamal dan menyebarkan ajaran bertentangan dengan Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata keputusan mahkamah itu akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg