KUALA LUMPUR: Kumpulan hak asasi wanita Islam di Malaysia, Sisters in Islam (SIS) memenangi rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun, untuk membatalkan fatwa diwartakan pihak berkuasa agama Islam Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perjuangan pertubuhan itu selama 11 tahun berakhir selepas keputusan panel empat hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memihak kepada SIS melalui penghakiman majoriti 3-1.
Dalam keputusan majoriti, panel hakim berpendapat perlembagaan Malaysia hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama ke atas “orang yang menganut agama Islam”.
“Kami mendapati perkataan persons professing the religion of Islam atau dalam bahasa Melayu: ‘Orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam butiran 1 hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat,” jelas Tengku Maimun, lapor Malaysiakini.
Dalam penghakiman tersebut, mahkamah mendapati tidak timbul keperluan untuk menyingkap tabir perbadanan kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi semestinya digerakkan oleh individu.
“Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4.
“Hakikat ini adalah sangat jelas dalam fatwa tersebut di mana ia juga secara nyata membezakan antara individu (secara sah) dan syarikat (secara tidak sah),” katanya.
Sehubungan itu, kata Tengku Maimun, tidak timbul isu sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan-perbuatan yang melanggar fatwa tersebut.
“Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa tersebut adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi tersebut.
“Pandangan kami ini dikuatkan oleh perenggan empat fatwa tersebut yang hanya menghendaki mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” tegasnya.
Dalam pada itu, mahkamah juga menegaskan agar penghakiman itu tidak disalah erti.
Justeru Tengku Maimun berkata panel hakim tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor khususnya terhadap frasanya: “... fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” dan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.”
Hal itu kerana, kata Tengku Maimun, ia adalah perkara dalam bidang kuasa eksklusif pihak responden.
Pengarah Eksekutif SIS, Cik Rozana Isa, menzahirkan kesyukuran atas keputusan mahkamah tertinggi negara itu dan berkata ia membuktikan bahawa mereka mempunyai hak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk terus menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak wanita Islam di Malaysia.
Sebelum ini pada 31 Julai 2014, kerajaan Selangor mewartakan fatwa mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.
SIS kemudian memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 dan ditolak Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020, sebelum keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg