Topic followed successfully
Go to BHkuSyabu, ganja RM5.5j dirampas di KLIA, 4 disyaki keldai dadah ditahan polis
Syabu, ganja RM5.5j dirampas di KLIA, 4 disyaki keldai dadah ditahan polis
Syabu, ganja RM5.5j dirampas di KLIA, 4 disyaki keldai dadah ditahan polis
SHAH ALAM (Selangor): Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan merampas syabu dan bunga ganja dianggar bernilai RM5.45 juta ($1.75 juta) dalam serbuan di beberapa kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, antara 30 Mac dengan 8 April lalu.
Turut ditahan empat suspek dipercayai keldai dadah termasuk seorang remaja perempuan, manakala seorang lagi wanita masih dikesan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kes pertama membabitkan rampasan 12 bungkusan plastik berisi 12.5 kilogram dadah dipercayai syabu dalam bagasi yang dibawa oleh remaja perempuan berusia 19 tahun pada 5 April lalu.
“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM625,000 dan suspek dipercayai dalam perjalanan untuk membawa bekalan dadah itu untuk edaran di Malaysia Timur.
“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai jurujual pakaian itu tiada sebarang rekod lampau dan saringan awal air kencing juga negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 13 April, lapor Harian Metro.
Beliau berkata kes kedua membabitkan rampasan 90 bungkusan plastik berisi dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 45 kilogram yang dirampas Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad (MAB) pada 6 April.
Menurutnya, kesemua bungkusan plastik dadah yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta itu diletakkan dalam tiga bagasi milik tiga lelaki tempatan bagi penerbangan ke luar negara.
“Pada 8 April, tiga suspek berusia 26 hingga 37 tahun ditahan di Terminal 1, KLIA yang mana saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine.
“Dua suspek masing-masing mempunyai empat dan enam rekod lampau manakala seorang lagi tiada sebarang rekod,” katanya.
Datuk Shazeli berkata kes ketiga membabitkan rampasan 23 bungkusan dadah jenis syabu seberat 24.5 kilogram dalam sebuah bagasi milik seorang wanita berusia 33 tahun.
Wanita berkenaan ujar beliau, melarikan diri selepas dipanggil untuk tujuan pemadanan bagasi dan tidak menaiki penerbangan itu.
“Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM1.23 juta dan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran Sabah.
“Polis kini giat mengesan wanita yang dikenali sebagai Syazwani Farhana Dron yang berasal dari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati tiga kes berkenaan tidak berkaitan antara satu sama lain selain polis percaya ada antara suspek yang baru sahaja menjadi keldai dadah.
Suspek berkenaan dipercayai tertarik dengan upah lumayan minimum RM5,000 yang diberikan sindiket.
Menurutnya, empat suspek berkenaan direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

