JOHOR BAHRU: Hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru, berikutan tidak puas hati dengan keputusan itu.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di Taman Daya, Johor Bahru, pada November 2024, sebelum tular di media sosial sejak awal pagi 16 Januari.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, berkata pihaknya menerima video itu menerusi satu pautan di aplikasi X, kira-kira 3 petang 16 Januari.
Beliau kemudian mengesahkan kejadian itu berlaku pada 5.40 petang, 18 November 2024 lalu.
“Laporan polis sudah diterima daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga kakitangan Puspakom itu.
“Suspek pula seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun adalah pelanggan Puspakom. Suspek bertindak menampar mangsa selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan yang dijalankan oleh mangsa,” katanya menerusi kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurut Encik Raub kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Kerajaan Malaysia terutama melalui Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Puspakom, kini giat menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan berat dan perdagangan selepas insiden tujuh terkorban dalam nahas jalan raya melibatkan lima kenderaan di Melaka, pada Disember lalu.
Dalam kejadian pada 23 Disember malam itu, seorang warga Singapura, Allahyarhamha Lamrah Asis Ali, 66 tahun, dikenal pasti sebagai seorang daripada tujuh korban dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Melaka.
Allahyarhamha Lamrah merupakan penumpang bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan dengan empat kenderaan lain iaitu lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta sebuah kereta, pada kira-kira 8.40 malam, dengan tayar sebuah lori tertanggal dan terdampar di atas lebuh raya menjadi punca nahas.
Kegagalan pemilik dan pemandu lori menyelenggara dengan baik kenderaan mereka boleh mengundang berlakunya kemalangan jalan raya yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Susulan kemalangan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di pusat pemeriksaan kenderaan.
Setakat ini SPRM sudah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksaan kenderaan, seorang ejen dan dua orang tengah susulan kes membabitkan Puspakom.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg