Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Syawal bulan kemenangan, eratkan perpaduan, elakkan perpecahan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Syawal bulan kemenangan, eratkan perpaduan, elakkan perpecahan

Apr 14, 2024 | 05:30 AM



Alhamdulillah, hari ini genap lima Syawal kita raikan bersama keluarga, insan tersayang dan sahabat handai.

Sebagaimana diketahui umum, Syawal dan Aidilfitri adalah hari kemenangan buat umat Islam, selepas sebulan menempuh Ramadan yang penuh cabaran, terutama dalam keadaan cuaca kemarau yang turut memberi pelbagai risiko kesihatan sekarang ini.

Berita dua kematian akibat strok haba di Malaysia baru-baru ini, dengan keseluruhan 37 kes berkait masalah kesihatan akibat cuaca panas hingga mencecah 40 darjah Celsius menunjukkan dalam fenomena cuaca, baik panas melampau atau hujan berterusan, kita harus sentiasa waspada.

Selain panas dengan kehangatan cuaca di Malaysia, baru-baru ini negara ini juga turut genting dengan pelbagai isu kontroversi terutama terkait kesucian agama Islam, yang menjentik sensitiviti masyarakat khususnya Melayu beragama Islam.

Daripada isu sekolah vernakular yang dikatakan merencatkan perpaduan kaum; isu cadangan campur tangan bukan Islam dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI); isu kantin sekolah patut ditutup pada Ramadan; isu bak kut teh diangkat sebagai makanan warisan negara hinggalah yang terkini isu stoking bercetak kalimah Allah yang ditemui dijual di sebuah kedai serbaneka di Lembah Klang.

Tidak dapat dinafikan, isu sensitif sebegini telah mengakibatkan jurang kesepaduan antara kaum dan lunturnya sikap saling menghormati sesama kaum di Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan apabila berlaku provokasi yang mengundang perbuatan di luar batas seperti melempar bom ‘molotov cocktail’ kononnya bagi menunjukkan amarah yang amat sangat, malah ada yang membuat ancaman bunuh dan pelbagai ugutan yang merisikokan nyawa.

Jujur, sebagai anak watan Malaysia yang lahir pada tahun 1980-an, saya sendiri merasai ‘pergolakan’ dalam keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia pada hari ini, yang jauh berbeza daripada zaman kanak-kanak saya dulu.

Masih segar di ingatan ketika kecil, sambutan perayaan Aidilfitri malah apa-apa perayaan masyarakat majmuk di Malaysia ini disambut penuh meriah dalam kebersamaan di kawasan kejiranan saya di Segamat, Johor.

Pada sambutan Syawal di zaman itu, saya saksikan sendiri bagaimana masyarakat Islam dan bukan Islam berganding bahu dalam merancang dan memeriahkan acara rumah terbuka yang diadakan secara besar-besaran.

Perancangan majlis dibuat dengan teliti selama berminggu-minggu dan apabila tiba harinya, penduduk tidak kira agama dan bangsa akan bergotong royong membuat pelbagai persiapan daripada makanan, perhiasan, keselamatan, pengacaraan pentas dan sebagainya.

Kaum ibu dan wanita Melayu, Cina serta India tidak menang tangan bersama-sama menyiapkan aneka juadah untuk hidangan, golongan bapa dan lelaki pula sibuk mengangkut meja dan kerusi daripada setiap rumah untuk disusun bersambung-sambung dan dihias dengan dekorasi menarik.

Ketika sambutan Aidilfitri, penduduk Melayu, Cina dan India sepakat memakai persalinan baju kebangsaan iaitu baju Melayu dan kurung.

Pada sambutan Tahun Baru Cina pula, anak kecil tidak kira bangsa mengenakan ceongsam dan begitu juga pada Deepavali, pakaian tradisional India seperti sari disarungkan.

Memang seronok apabila mengenang nostalgia lalu.

Hubungan sesama jiran walaupun berbeza kaum dan agama amat mesra, umpama isi dengan kuku.

Namun, hari ini menyedihkan apabila perpaduan kaum di Malaysia dilihat kian menjauh.

Sifat saling menghormati semakin terhakis dan ia perlu ditangani segera supaya tidak terus membarah dalam masyarakat yang boleh menatijahkan ketegangan kaum.

Saya pasti, walaupun komposisi penduduk Malaysia mencakupi berbilang bangsa dan agama – Melayu, Cina, India, malah Kadazan Dusun (Sabah) dan Iban di Sarawak dan lain-lain – semua memahami falsafah Aidilfitri sebagai bulan bermaafan dan bersilaturahim, terutama dalam konteks perpaduan dan perdamaian nasional.

Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata Aidilfitri adalah perayaan yang sangat bermakna dan semua pihak patut mengambil peluang untuk menginsafi pelbagai kejadian yang mencetus kontroversi dan polemik perkauman sebelum ini.

Beliau yang sering diberi julukan sebagai individu yang ‘lebih Melayu dari Melayu’ dalam ketegasannya memperjuang pelbagai isu, berkata perpaduan kaum di Malaysia yang disifatkannya kritikal sekarang perlu segera diredakan.

“Selama ini kita banyak sembunyi bawah permaidani isu-isu membabitkan kaum dan agama, namun kini ia ibarat bom jangka yang meletup terutama dengan isu stoking bercetak kalimah Allah yang mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam.

“Jadi bagi saya, semua pihak terutama yang mencetuskan isu sebegitu perlu menginsafi, menerima kesalahan, perbaiki dan tidak mengulangi,” katanya kepada Berita Minggu.


Bagi umat Islam, kedatangan Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan keimanan, manakala bagi bukan Islam kesempatan menyambut Aidilfitri ini seharusnya digunakan untuk memupuk perasaan muhibah dan persaudaraan.

Jadikan Aidilfitri ini sebagai jambatan untuk keharmonian, kasih sayang dan kebersamaan itu kembali bertaut erat. Selamat Hari Raya!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >