Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan KK Mart: Jawatankuasa harmoni kaum M’sia akan adakan mesyuarat tergempar, bincang isu sensitif agama, kaum

Apr 3, 2024 | 1:02 PM
Tiga KK Mart di Malaysia diserang pihak tidak bertanggungjawab yang melempar bom ‘molotov cocktail’ selepas kedai serbaneka itu terpalit kontroversi susulan penemuan stoking bercetak kalimah Allah yang dijual di kedai berkenaan di Lembah Klang, pada 13 Mac lalu.  
Tiga KK Mart di Malaysia diserang pihak tidak bertanggungjawab yang melempar bom ‘molotov cocktail’ selepas kedai serbaneka itu terpalit kontroversi susulan penemuan stoking bercetak kalimah Allah yang dijual di kedai berkenaan di Lembah Klang, pada 13 Mac lalu.   - Foto ASTRO AWANI

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) di Malaysia akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 5 April, bagi membincangkan insiden berkait sensitiviti agama dan perkauman termasuk serangan di kedai serbaneka, KK Mart, baru-baru ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, dalam kenyataan bersama berkata jawatankuasa tersebut akan mengambil langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

Kedua-dua menteri juga mengutuk sekeras-kerasnya semua insiden polemik perkauman dan agama yang menganggu gugat keharmonian rakyat.

“Kededua menteri memberi amaran tegas kepada semua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman melampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

“Selain itu, kedua-dua menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” katanya, lapor Astro Awani.

JK Harmoni diurusetiakan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengulas lanjut, Datuk Aaron dan Datuk Mohd Na’im turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Jelas mereka, pelbagai insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman termasuk di KK Mart, Kuching, Sarawak, dicetuskan individu tidak bertanggungjawab.

“Pihak yang terlibat perlu dihukum dengan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak,” ujar mereka.

Sebelum ini, tiga kedai serbaneka KK Mart dibaling ‘molotov cocktail’ bermula dengan serangan di KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak, pada 25 Mac, disusuli KK Mart yang baru beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang, dan KK Mart cawangan Kuching.

KK Mart terpalit dengan kontroversi isu penjualan stoking bercetak kalimah Allah yang ditemui pelanggan di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, pada 13 Mac lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg