Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan menganjurkan Larian Kesyukuran Muar sejauh kira-kira 170 kilometer bermula dari Istana Kehakiman di Putrajaya hingga ke Laman Maharani, Muar.

Menurutnya, larian yang akan mengambil masa selama empat hari itu diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas melalui tempoh yang mencabar sejak beberapa tahun lalu, di samping mengumpul dana untuk masyarakat setempat.

Dalam satu kenyataan pada 15 Julai, beliau berkata larian itu akan bermula pada 16 Julai pada 5 petang dan dijadual berakhir pada 19 Julai, dengan sasaran mengumpulkan RM200,000 ($63,568) bagi membiayai dua inisiatif kebajikan di Parlimen Muar.

Menurutnya, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga serta golongan yang memerlukan, selain membekalkan iPad kepada pelajar yang memerlukan akses kepada peranti digital bagi tujuan pembelajaran.

Syed Saddiq berkata sepanjang tempoh berdepan pelbagai cabaran, beliau menerima sokongan, doa dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar.

“Saya tidak mahu rasa syukur ini berhenti setakat diri saya sahaja. Saya mahu menterjemahkannya kepada satu usaha yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat Muar,” katanya.

Beliau berkata makanan merupakan keperluan asas yang tidak boleh dikompromi, manakala akses kepada peranti digital semakin penting bagi memastikan pelajar tidak tercicir dalam pendidikan.

Menurutnya, keseluruhan perjalanan larian itu akan disiarkan secara langsung menerusi platform TikTok, Facebook dan YouTube, sekali gus membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan perjalanan, jumlah kutipan dana serta kisah penerima bantuan.

Katanya, semua sumbangan akan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, manakala nombor akaun, kod QR bank dan maklumat kempen akan dipaparkan menerusi pautan rasmi bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan.

Perkembangan kutipan dana juga akan dikemas kini secara berkala, sementara laporan penggunaan serta agihan dana akan diterbitkan selepas kempen berakhir sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau turut mengajak orang ramai yang tidak berkemampuan untuk menyumbang secara kewangan agar membantu dengan berkongsi pautan kempen, menyebarkan siaran langsung dan mendoakan kelancaran perjalanan tersebut.

“Larian ini akan bermula di tempat yang menjadi simbol kepada antara perjalanan paling berat dalam kehidupan saya, dan akan berakhir di Muar, tempat yang sentiasa menjadi rumah dan sumber kekuatan saya.

“Saya berharap Larian Kesyukuran Muar ini bukan sahaja menjadi simbol kesyukuran, tetapi dapat diterjemahkan kepada bantuan yang nyata, peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik untuk masyarakat Muar,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah melakukan larian Langkah Muar pada Jun 2024 dengan jarak 200 kilometer dari Muar ke Bangunan Parlimen Malaysia.