Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taikun Spanco didakwa tipu kontrak kerajaan M’sia bernilai RM3.9b

Apr 3, 2024 | 12:07 PM
Pengerusi Spanco, Tan Sri Robert Tan Hua Choon (depan kanan), didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu hingga mendorong Kementerian Kewangan Malaysia menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion pada 2019.
Pengerusi Spanco, Tan Sri Robert Tan Hua Choon (depan kanan), didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu hingga mendorong Kementerian Kewangan Malaysia menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion pada 2019. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Spanco, Tan Sri Robert Tan Hua Choon, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 April atas tuduhan menipu hingga mendorong Kementerian Kewangan (MOF) menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM3.9 bilion ($1.11 bilion) pada 2019.

Namun, pengerusi syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan berusia 83 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di depan Hakim Suzana Hussin.

“Faham (tuduhan), saya tidak bersalah. Saya sudah tolong negara banyak lama,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengikut tuduhan, Tan didakwa menipu MOF dengan memperdaya Jawatankuasa Pembuka Peti Tender, berhubung pemilikan saham Bumiputera Spanco, yang menyebabkan Kementerian Kewangan menganugerahkan kontrak bernilai RM3.9 bilion untuk memperoleh dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Dengan itu tertuduh secara tidak jujur mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet (membekal, membaiki, penyelenggaraan dan pengurusan kenderaan kerajaan Malaysia) bernilai RM3.96 bilion kepada Spanco, yang mana MOF tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan didakwa dilakukan di MOF, Putrajaya, pada 27 serta 28 Februari 2019. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Hakim menetapkan ikat jamin RM2 juta bersama seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan dan dilarang menghubungi saksi secara terus atau melalui pihak ketiga.

Sebutan semula kes itu ditetapkan 4 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mahadi Jumaat, manakala peguam Encik Wan Azmir Wan Majid mewakili Tan.

Pada 5 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perjanjian kerajaan Malaysia dengan Spanco merugikan negara dan beliau sentiasa berwaspada mengenai isu itu semasa menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 6 Februari, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada Spanco dipanggil untuk membantu siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg