KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat (Parlimen) Malaysia, Tan Sri Johari Abdul, sudah menerima saman pemula difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan keputusannya tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen (AP) yang dipecat parti itu.
Tan Sri Johari berkata writ saman itu diterima beliau minggu lalu, namun menjelaskan belum meneliti kandungan dokumen berkenaan.
“Saya belum tengok lagi dan akan semak kemudian, tetapi dimaklumkan ia (writ saman) sudah dihantar (ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Bersatu sebelum ini dilapor mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima AP yang dipecat parti itu, sebagai tidak berperlembagaan.
Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif pada 15 November.
Selain Tan Sri Johari, Bersatu turut menamakan lima mantan AP parti itu – Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang, Kelantan); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar, Perak) dan Encik Zahari Kechik (Jeli, Kelantan) sebagai defendan.
Turut dinamakan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang, Perak) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang, Selangor) sebagai defendan.
Mengulas tindakan Bersatu itu, Tan Sri Johari berkata pihaknya menyerahkan kepada Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk mengendalikan prosedur berkaitan saman terbabit.
“Itu hak mereka (untuk kemukakan saman). Saya rasa semua rakyat Malaysia, organisasi dan parti ada hak berlandaskan undang-undang. Apa-apa tindakan berlandaskan undang-undang akan diadili seadil-adilnya oleh pihak berkuasa.
“Justeru, biarkan prosiding saman ini diselesaikan secara perundangan. Kita tak boleh selesaikan secara emosi,” katanya.
Lima mantan AP Bersatu itu bagaimanapun mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang writ saman daripada mahkamah berhubung tuntutan saman pemula yang dikemukakan parti itu terhadap mereka.
Sementara itu dalam kes berasingan di Perlis, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan negeri daripada Bersatu, digugurkan daripada jawatan Exco kerajaan Perlis.
Mereka ialah Encik Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).
Bagaimanapun tempat mereka digantikan oleh Adun lain daripada Bersatu juga, iaitu Encik Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis) yang juga Pengerusi Bersatu Perlis dan Cik Marzita Mansor (Sena).
Justeru, kuota tiga daripada lapan tempat untuk Bersatu dalam kerajaan negeri, kekal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg