Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tak lengkap Aidilfitri tanpa lagu, iklan Raya

Jelang Syawal, ratusan syarikat kecil dan besar peruntuk sejumlah kos besar semata-mata untuk hasilkan iklan Raya
Mar 28, 2025 | 4:11 PM
Antara sedutan menarik dalam iklan Raya Petronas bertajuk Anak Siapa Ni?
Antara sedutan menarik dalam iklan Raya Petronas bertajuk Anak Siapa Ni? - Foto YOUTUBE PETRONAS

Saban tahun setiap kali Aidilfitri bakal menjelma, lagu dan iklan Raya baru antara yang paling dinantikan ramai.

Di Malaysia, menonton iklan Raya dan melakukan dance atau song challenge (cabaran menari atau menyanyi) lagu Raya sudah diibaratkan sebagai satu trend (aliran terkini) sejak beberapa tahun lalu.

Menjelang Syawal, ratusan syarikat kecil dan besar, agensi kerajaan mahupun usahawan yang memperuntukkan sejumlah kos besar semata-mata untuk menghasilkan iklan Raya yang berimpak tinggi dengan simbolik tersendiri.

Malah, kebanyakan iklan yang dihasilkan turut mengangkat kisah benar atau isu semasa sebagai jalan cerita yang sarat dengan pelbagai mesej penting seperti perpaduan, kekeluargaan dan silaturahim, sesuai dengan mood lebaran, sehingga mampu menarik jutaan tontonan.

Ia juga menjadi medan mencungkil bakat baru dalam lakonan, di samping menggunakan pengaruh artis dan selebriti popular sebagai penarik iklan.

Nama syarikat besar seperti Petronas, Celcom, Maxis, Projek Lebuhraya Utara Selatan, selain syarikat berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), institusi perbankan seperti Bank Muamalat dan Takaful agak popular sebagai pengeluar iklan Raya yang menarik dan menyentuh hati.

Jika pada era 1990-an, iklan Raya syarikat automotif jenama Malaysia, Proton dan Petronas antara paling diingati sehingga kini, untuk 2025, setakat ini beberapa tajuk dilihat sudah mencuri tumpuan penonton.

Iklan Raya Petronas bertajuk ‘Anak Siapa Ni?’ yang hampir mencecah satu juta tontotan sejak dilancarkan pada 25 Mac membawa kelainan tersendiri dengan mengetengahkan budaya dan pertuturan dialek masyarakat Negeri Sembilan dalam dialognya.

Dengan menghadirkan kisah menyentuh hati tentang perjalanan Rafi, yang menemukan makna sebenar persaudaraan melalui pertemuan penuh ikhlas dan kebersamaan, iklan itu mendapat pujian ramai.

‘Petronas sentiasa jadi trendsetter (perintis) untuk iklan Raya. Kudos,” kata @daengtribe.

Kata pelayan Youtube dengan nama @udaswoop pula - “Anak-anak muda kenal-kenal lah saudara yang tua ini. Masa Raya inilah ambil peluang. Orang tua ini mereka tak mintak banyak pon daripada kita. Mereka nak rasa dihargai saja,tulisnya.

Jika 2024 Malaysia mengalami demam lagu Raya ‘Alamak Raya Lagi’ dendangan kumpulan De Fam, pada 2025 ini lagu dendangan penyanyi MimiFly bertajuk Serumpun semakin tular.

Lagu itu yang awalnya dijentik kontroversi kerana pakaian penyanyi yang tidak bersesuaian dengan konsep Syawal kemudian menggamit puluhan ribu pendengar untuk melakukan cabaran tarian Serumpun atau kata pagarnya #serumpundancechallenge.

Uniknya Mimifly cuba mengangkat bahasa isyarat sebagai satu elemen tarian yang digunakan dalam lagu itu yang kini sudah meraih 2.4 juta tontonan di Youtube.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg