Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tampar lelaki makan depan khalayak: Tertuduh dibebas tapi akan didakwa semula

Mar 19, 2025 | 1:56 PM
Abdul Razak Ismail dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 Mac.
Abdul Razak Ismail dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 Mac. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 Mac melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang didakwa menampar seorang lelaki bukan Islam kerana makan di khalayak ramai dalam Ramadan pada 16 Mac.

Majistret A. Shaarmini membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan mahkamah mengenai arahan terbaru daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk merujuk semula kertas siasatan kes itu ke AGC di Putrajaya.

Bagaimanapun, Cik Nur Fatihah memaklumkan mahkamah kes berkenaan akan dituduh semula selepas AGC di Putrajaya meneliti semula kertas siasatan.

Terdahulu, kes itu sempat menjalani prosiding apabila warga emas terbabit, Abdul Razak Ismail, 65 tahun, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di mahkamah.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, kira-kira 3.45 petang pada 16 Mac.

Warga emas itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 ($600) atau kededuanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh Abdul Razak menampar pipi kanan mangsa. Pegawai kesihatan yang memeriksa mangsa mengesahkan beliau mengalami lebam di pipi kanannya.

Bagaimanapun, tertuduh kemudian menyatakan beberapa fakta yang dibacakan tidak tepat.

“Masa tak betul. Saya tampar tapi tak sampai lebam,” katanya, lapor Harian Metro.

Namun apabila Majistret Shaarmini bertanya semula kepada tertuduh sama ada dia mahu dibicarakan, tertuduh tetap mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta kes dibacakan.

Ini menyebabkan Majistret Shaarmini menolak pengakuan bersalah itu.

“Saya terpaksa menolak pengakuan bersalah bersyarat dibuat tertuduh kerana pengakuan bersalah seharusnya dibuat tanpa bersyarat,” kata Majistret Shaarmini.

Namun, ketika Cik Nur Fatihah sedang berhujah untuk menetapkan ikat jamin tertuduh, beliau memaklumkan mahkamah beliau mendapat arahan terbaru daripada AGC yang mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai DNAA.

Pada 16 Mac, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki ditegur oleh Abdul Razak kerana didakwa makan secara terbuka semasa Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Berlaku ketegangan apabila Abdul Razak meminta lelaki itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan beliau bukan beragama Islam.

Lelaki itu enggan menunjukkan kad pengenalannya, dan mendakwa beliau kemudian dimarahi serta ditampar Abdul Razak beberapa kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg