Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah mendap di Jalan Masjid India cetus kebimbangan

Nov 11, 2025 | 11:51 AM
Walaupun kejadian tanah mendap dekat Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada 10 November, agak kecil, orang ramai di situ tetap bimbang keselamatan mereka berikutan masih trauma dengan kejadian lubang benam yang mengorbankan seorang wanita warga India selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter di kawasan sama.
Walaupun kejadian tanah mendap dekat Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada 10 November, agak kecil, orang ramai di situ tetap bimbang keselamatan mereka berikutan masih trauma dengan kejadian lubang benam yang mengorbankan seorang wanita warga India selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter di kawasan sama. - Foto DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Baru dua minggu punca sebenar kejadian lubang benam yang mengorbankan seorang wanita di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos 2024 didedahkan kepada umum, satu lagi kejadian tanah mendap berlaku di kawasan itu pada 10 November.

Kejadian pada 8.40 pagi itu mencetuskan kebimbangan awam terutama penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan terhadap tahap keselamatan dan kestabilan infrastruktur bawah tanah di situ.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan pada 10 November berkata siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.

Menurut DBKL, dapatan itu adalah hasil siasatan pasukan siasatan merangkumi DBKL; Air Selangor; Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang dikerah ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan awal dan menilai tahap risiko struktur di kawasan berkenaan.

“DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar. 

“DBKL menegaskan bahawa keselamatan orang awam merupakan keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan,” kata DBKL dalam kenyataan itu.

Terdahulu, DBKL mengambil tindakan menutup sebahagian Jalan Masjid India sejurus kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan Bonus di hadapan sebuah premis Bombay Jewellery itu, daripada laluan kenderaan atas faktor keselamatan dan bagi tujuan keselamatan.

Bagaimanapun laluan itu kembali dibuka selepas siasatan awal dan kerja pembaikan jalan selesai pada 6 petang.

“Kerja-kerja pembaikan permukaan jalan telah dilaksanakan serta disiapkan pada 6 petang (10 November). Sehubungan itu, Jalan Masjid India yang ditutup pagi tadi sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam,” kata DBKL.

Berita Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian malang pada pagi 23 Ogos 2024, seorang wanita warga India, Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang melancong ke Malaysia bersama beberapa ahli keluarganya, hilang tanpa jejak selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Usaha pencarian mangsa oleh pihak berkuasa Malaysia selama lapan hari tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai kaedah berbahaya dan berisiko dilakukan.

Menyusuli kejadian, pihak berkuasa Malaysia melaksanakan siasatan khas dan kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia dan ketidakstabilan tanah dikenal pasti punca utama kejadian lubang benam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang mendedahkan hasil siasatan pasukan khas diketuai DBKL itu pada 23 Oktober lalu, mendapati kejadian itu tidak berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur di bawah tanah seperti yang dibimbangi orang ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg