Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah runtuh: Penduduk pangsapuri di KL diarah pindah

Beberapa keluarga di Kelantan pula diancam bahaya berikutan kediaman berisiko roboh akibat tebing runtuh
Nov 24, 2025 | 4:34 PM
Tanah runtuh, pangsapuri
Keadaan tanah runtuh libatkan dua blok pangsapuri dan kediaman berhampiran di Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur, membahayakan nyawa penduduk.  - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Ratusan penduduk di kawasan penempatan di Kuala Lumpur diarahkan berpindah menyusuli kejadian tanah runtuh pada 24 November, manakala beberapa keluarga di Kelantan diancam bahaya berikutan kediaman berisiko roboh akibat tebing runtuh.

Di Kuala Lumpur, pihak berkuasa mengarahkan penduduk mengosongkan dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh, berikutan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun.

Dalam satu kenyataan pada 24 November, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, Encik Armdan Mahat, berkata runtuhan tanah sepanjang kira-kira 60 meter itu turut menimpa beberapa kereta dan motosikal.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kejadian pada 11.02 pagi. 

“Satu pasukan dari BBP Seputeh bersama dua jentera dan 11 anggota dikerahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Setibanya di tempat kejadian beberapa kereta dan motosikal didapati terjejas. Tanah runtuh berkenaan juga memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berhampiran,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata setakat ini tiada mangsa atau kehilangan nyawa dilaporkan, namun dua blok pangsapuri dan premis berhampiran perlu dikosongkan kerana masih terdapat pergerakan tanah, selain hujan lebat ketika ini. 

“Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi kejadian. Pasukan bomba masih berada di tempat kejadian bagi memantau sebarang pergerakan tanah,” katanya. 

Berita Harian Malaysia melaporkan beberapa keluarga tidak dapat tidur lena dan sentiasa berdebar setiap kali terdengar bunyi pergerakan tanah di belakang kediaman mereka di Kampung Gaung, Pendek, Kota Bharu, Kelantan.

Cik Harniza Yaacob, 54 tahun, berkata kejadian pada 1 pagi 23 November mengejutkan mereka sekeluarga apabila terdengar dentuman kuat dari arah belakang rumah, sebelum sebahagian tebing runtuh akibat hujan lebat sejak 21 November.

“Sudah dua malam kami tiga beranak tidak dapat tidur lena dan berdebar setiap kali dengar bunyi pergerakan tanah.

“Runtuhan itu adalah kejadian kedua selepas insiden Jun lalu dan kini jarak antara bahagian dapur dengan tebing runtuh hanya tinggal tiga meter, manakala jarak tebing dengan Sungai Kelantan pula sekitar 30 meter.

“Hujan lebat sejak beberapa hari ini menyebabkan tanah semakin lembap serta berlaku pergerakan tanah dan setiap hari kami berada dalam kebimbangan sekiranya tebing itu terus mendap dan ‘menarik’ rumah ini sekali,” katanya.

Dalam pada itu, di Terengganu, penduduk sekitar Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit, Kuala Terengganu, meluahkan kebimbangan apabila laluan itu kembali rosak, selepas dua kali berdepan insiden runtuhan pada Januari dan September lalu akibat masalah hakisan pantai.

Keadaan jalan berkenaan diburukkan dengan kejadian ombak besar dan angin kuat yang melanda pada Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg