PETALING JAYA: Polis Malaysia sedang menyiasat kegiatan yang menyimpang daripada Islam yang didakwa berlaku di sesi ceramah motivasi di Shah Alam, Selangor.
Ketua polis Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim berkata insiden tersebut berlaku pada September 2024. Polis menerima aduan mengenai insiden tersebut pada akhir Februari 2025.
“Kami telah menghubungi isteri orang yang membuat aduan itu, serta peserta lain dalam acara tersebut untuk merakamkan kenyataan masing-masing.
“Ada beberapa perkara yang perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk, jika ada, tindakan susulan yang harus diambil oleh polis atau jabatan agama negeri,” kata beliau.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam satu kenyataan, berkata ia telah memulakan siasatan terhadap kejadian yang berlaku di satu ceramah motivasi, di mana didakwa tarian separuh bogel dan ‘mandi untuk menyucikan diri’ telah dilaksanakan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pada 12 Julai perkara itu harus diambil serius dan tindakan tegas harus dikenakan jika dakwaan itu didapati benar menyusuli siasatan yang menyeluruh.
“Laporan itu baru sahaja diterima, saya telah meminta Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas kerana ia dianjurkan secara privet di dalam dewan dan tidak bersangkut-paut dengan kerajaan negeri,” kata beliau, sebagaimana dilaporkan agensi berita, Bernama.
“... Namun, saya amat prihatin akan apa yang telah didedahkan... kami perlu mengadakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang terlibat,” katanya lagi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg