Perkhidmatan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru–Singapura kekal dijadualkan beroperasi pada Februari 2027.

Namun, tarikh tepat belum ditentukan, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata persiapan bagi operasi perkhidmatan rentas sempadan itu berjalan mengikut jadual, termasuk penyediaan sistem pemeriksaan, pintu automatik dan mesin pengimbas.

“Kita masih lagi terikat dengan jadual bersama kita,” katanya, sebelum menjelaskan bahawa operasi disasarkan bermula pada Februari 2027.

“Tarikh belum ditentukan,” tambahnya pada sidang media selepas majlis penutup latihan keselamatan bersama Malaysia-Singapura di Depoh RTS Wadi Hana, Johor Bahru, pada 28 Oktober.

Datuk Saifuddin berkata latihan itu merupakan sebahagian daripada persiapan sebelum operasi rasmi RTS Link bermula bagi menguji keupayaan menangani krisis dan kecemasan.

Menurutnya, latihan berkenaan menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kejadian rentas sempadan yang dibangunkan bersama Malaysia dan Singapura.

Persiapannya bermula pada Mac lalu, dengan penyelarasan di pihak Malaysia diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan melibatkan 28 kementerian serta agensi.

Antaranya ialah polis, tentera, bomba, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan pentadbiran kerajaan Johor.

Rakan strategik yang terlibat termasuk MRT Corp, pengendali RTS Link, Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan Sapura.

Sebelum latihan lapangan dijalankan, dua latihan perbincangan berasaskan senario diadakan pada peringkat nasional pada 19 hingga 20 Ogos dan peringkat rentas sempadan pada 28 hingga 29 September.

Sementara itu, Ketua Pengarah MKN, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, menjelaskan latihan yang dijalankan di lapangan menggunakan senario kebakaran tren yang kedudukannya merentasi sempadan kedua-dua negara.

Bahagian hadapan tren berada di sebelah Malaysia, manakala sebahagian besar gerabak masih berada di Singapura.

Berdasarkan SOP bagi senario tersebut, tanggungjawab pengurusan kejadian terletak pada Malaysia.

“Jadi, senario tersebutlah yang boleh dikatakan rumit,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan penyelarasan kukuh antara agensi Malaysia sebelum tindakan bersama dilaksanakan dengan pihak Singapura.

Kedudukan Stesen Bukit Chagar di kawasan sibuk dan padat penduduk turut menambah kerumitan pengurusan kecemasan.

Datuk Saifuddin pula menekankan bahawa pengurusan laluan strategik tersebut berpandukan empat prinsip, iaitu kelancaran pergerakan, kecekapan sistem penyampaian, keselamatan dan integriti.

“Prinsip yang ketiga adalah kita tak boleh kompromi dari segi keselamatan,” katanya.

Mengulas persediaan pemeriksaan keselamatan, beliau berkata beliau telah melihat dan mencuba sendiri peralatan pengimbasan yang dipasang, yang menurutnya mampu mengesan bukan sahaja senjata, malah barangan lain pada tubuh seseorang.