Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tawaran untuk bakal jemaah haji M’sia akan dimaklum 2 tahun lebih awal dari tahun giliran

Jul 11, 2024 | 5:52 PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (depan tengah) bersama jemaah haji Malaysia ketika Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan bagi musim haji 1445H/2024M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (depan tengah) bersama jemaah haji Malaysia ketika Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan bagi musim haji 1445H/2024M. - Foto FACEBOOK DR MOHD NAI’I MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji Malaysia akan menerima pemakluman tawaran haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dua tahun lebih awal daripada tahun giliran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata cadangan itu yang terkandung dalam ‘Blueprint Haji’ (Rangka Tindakan Haji) bagi menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan TH, bertujuan mengatasi isu pendeposit menolak tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Langkah ini akan memberi masa kepada bakal jemaah untuk mencukupkan simpanan bagi kos haji dan juga membuat persediaan dari segi kesihatan dan apa-apa keperluan yang lain.

“Ia kerana seramai 10,036 individu menolak tawaran menunaikan haji bagi musim 1445H/2024M yang dikeluarkan kepada 31,600 orang di bawah kuota rasmi negara dan diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat pada 11 Julai, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, yang meminta Perdana Menteri Malaysia menyatakan bilangan calon jemaah haji mendapat tawaran dan bilangan calon menolak tawaran pada 2024 serta usaha kerajaan bagi menangani masalah penolakan tawaran.

Menurut Datuk Dr Mohd Na’im, pada dasarnya semua pendeposit TH tanpa mengira peringkat umur boleh membuat pendaftaran haji dan akan dipilih untuk menunaikan fardu haji apabila tiba giliran tahun yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan prinsip yang mendaftar dahulu akan didahulukan.

“Sistem pendaftaran terbuka berkenaan diterima pakai oleh umum sejak 1995. Namun, meskipun segala persediaan telah dilakukan untuk pergi menunaikan haji, masih terdapat bakal jemaah haji menangguhkan tawaran haji atas pelbagai sebab.

“Terutamanya kerana tidak dapat memenuhi syarat istito’ah (kemampuan tunai haji) seperti kesihatan dan kewangan,” ujarnya.

Justeru katanya, sekiranya pendeposit menunda atau menangguh panggilan haji pada tahun semasa, peluang mereka masih ada untuk tahun akan datang tertakluk kepada kekosongan.

Ketika ini, bakal jemaah haji menerima surat tawaran mengerjakan haji pada setiap awal tahun, iaitu beberapa bulan sebelum bulan Islam Zulhijjah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg