KUALA LUMPUR: Tekanan ekonomi, pekerjaan yang tidak padan dan cabaran membina kerjaya dikenal pasti antara faktor yang mendorong sebahagian golongan muda di Malaysia menangguhkan perkahwinan, menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Pengarah Bahagian Penyelidikan, Kependudukan dan Keluarga LPPKN, Encik Adzmel Mahmud, berkata golongan itu memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, majikan, institusi pendidikan dan keluarga bagi membantu mereka merealisasikan impian membina keluarga.

Beliau berkata trend berkenaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan usia perkahwinan boleh memberi kesan kepada struktur penduduk negara dalam jangka panjang.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata umur perkahwinan pada 2024 ialah 31 tahun bagi lelaki dan 29 tahun bagi wanita, menunjukkan peningkatan berbanding dekad terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan tempoh reproduktif menjadi lebih singkat dan boleh menjejaskan bilangan kelahiran pada masa depan,” katanya dalam podcast ‘Kasih Lensa Keluarga’ Musim Kedua sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Adzmel berkata sebenarnya ramai orang muda mahu berkahwin, namun mereka menangguhkan hasrat itu kerana berdepan kekangan ekonomi, selain ingin mendapatkan kestabilan pekerjaan dan pendapatan.

Tambahnya kesejahteraan mental, fizikal dan sosial juga memainkan peranan penting dalam membantu golongan muda membuat keputusan berkaitan kerjaya, perkahwinan dan pembentukan keluarga.

“Selain tekanan ekonomi, pengaruh media sosial turut mempengaruhi persepsi sebahagian belia terhadap usia yang sesuai untuk berkahwin, sekali gus memberi tekanan yang tidak perlu kepada mereka,” katanya.

Daripada segi peluang pekerjaan pula, Encik Adzmel berkata antara cabaran utama yang dihadapi golongan muda ialah ketidakpadanan antara kelayakan akademik dengan keperluan pasaran kerja, sekali gus menyukarkan mereka memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang diharapkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian golongan muda terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan, yang akhirnya memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.

Sementara itu, Encik Adzmel berkata pelaburan terhadap golongan muda perlu diperkukuhkan bagi memastikan mereka memperoleh pendidikan bermutu, pekerjaan yang baik, kesihatan optimum serta peluang menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurutnya, usaha itu penting memandangkan golongan muda berusia antara 15 dengan 30 tahun di Malaysia dianggarkan berjumlah kira-kira sembilan juta orang, atau 26 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.

“Golongan muda pewaris negara dan pemimpin masa depan. Mereka perlu diberi pendidikan, pekerjaan dan kesihatan yang baik serta ruang untuk membuat keputusan dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Bagi membantu golongan muda membuat persediaan ke arah kehidupan berkeluarga, beliau berkata, LPPKN menyediakan pelbagai inisiatif.

Ia, katanya termasuk Program Smart Start Pra Perkahwinan, Program Bantuan Rawatan Kesuburan, pendidikan kesihatan reproduktif serta perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan.

Tambahnya, usaha memastikan golongan muda dapat membina keluarga pada masa yang sesuai memerlukan komitmen semua pihak melalui penyediaan peluang pekerjaan bermutu, persekitaran kerja yang lebih fleksibel, kemudahan sokongan kepada ibu bapa bekerja serta pembangunan kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

Hari Penduduk Sedunia 2026 disambut pada 11 Julai bertemakan ‘Merealisasikan Harapan dan Aspirasi Golongan Muda: Hari Ini dan Masa Hadapan’, mencerminkan kepentingan melabur dalam pembangunan golongan muda agar mereka mampu mencapai cita-cita, membina keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara.