Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera M’sia laksana latihan Aman Youyi bersama tentera China

Oct 13, 2025 | 4:13 PM
Pasukan ketenteraan Malaysia dan China akan melaksanakan Latihan Aman Youyi bagi tahun 2025 pada 15 hingga 23 Oktober ini di beberapa kawasan sekitar Selangor dan perairan Selat Melaka.
Pasukan ketenteraan Malaysia dan China akan melaksanakan Latihan Aman Youyi bagi tahun 2025 pada 15 hingga 23 Oktober ini di beberapa kawasan sekitar Selangor dan perairan Selat Melaka. - Foto TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA

Pasukan ketenteraan Malaysia dan China akan melaksanakan latihan Aman Youyi bagi tahun 2025 pada Oktober ini, bertujuan meningkatkan kebolehoperasian dan kesiapsiagaan dalam operasi kededua skuad pertahanan itu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan pada 13 Oktober, berkata ATM melalui Markas Angkatan Bersama akan melaksanakan Latihan Aman Youyi 2025 bersama Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, bermula 15 hingga 23 Oktober ini.

ATM berkata latihan itu akan diadakan di sekitar Selangor dan perairan Selat Melaka.

“Latihan itu akan diadakan di sekitar kawasan Klang, Subang, Puchong di Selangor serta perairan Selat Melaka.

“Latihan yang diadakan setiap dua tahun sekali ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehoperasian bersama antara ATM dan PLA.

“Ia juga bagi memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala serta mempertingkat kesiapsiagaan dalam melaksanakan operasi kemanusiaan dan keselamatan maritim di rantau ini,” kata ATM dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, ATM menasihatkan agar orang ramai terutama penduduk di sekitar kawasan Klang, Puchong, Subang dan kawasan berhampiran perairan Selat Melaka agar tidak panik atau cemas.

“Jangan cemas atau panik sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan kenderaan dan konvoi aset-aset tentera serta sebarang aktiviti ketenteraan yang berlangsung mulai 13 Oktober 2025 hingga tamat latihan,” kata ATM.

Sementara itu, Channel News Asia melaporkan latihan berkala itu merupakan sebahagian daripada usaha Beijing, China, untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara Asia Tenggara, meskipun wujud ketegangan di rantau ini, terutama berhubung kawasan yang dipertikaikan di laluan sibuk Laut China Selatan.

Pasukan yang mengambil bahagian berlepas pada 8 Oktober dari pelabuhan tentera China di Zhanjiang, Sanya dan Hong Kong, bagi menyertai latihan yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 23 Oktober.

Laporan itu menyebut lebih 1,000 anggota dari kedua-dua negara akan mengambil bahagian, termasuk lebih 700 dari China, bersama pelbagai aset seperti kapal, helikopter dan sistem tanpa pemandu, menurut laporan media China Military Bugle yang berkait dengan PLA.

Menurut Kementerian Pertahanan China, latihan keenam seumpamanya itu akan memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan bencana, serta keselamatan maritim, dengan pemerhati daripada negara anggota Asean lain turut dijemput

Menurut kementerian itu ia bertujuan memperkukuh kerjasama praktikal antara angkatan tentera China dan negara Asia Tenggara, meningkatkan keupayaan mereka menangani ancaman keselamatan bukan tradisional secara bersama, serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg