Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada lagi tol percuma pada musim perayaan 2025 di M’sia

Jan 21, 2025 | 3:38 PM
Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah), selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Klang, Selangor, pada 21 Januari. 
Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah), selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Klang, Selangor, pada 21 Januari.  - Foto FACEBOOK ALEXANDER NANTA LINGGI

Bermula 2025 ini, rakyat Malaysia tidak lagi menikmati tol percuma pada musim perayaan, termasuk yang terdekat sempena cuti Tahun Baru Cina pada 29 Januari ini.

Keputusan Kabinet mengenai penamatan tol percuma pada musim perayaan itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada 21 Januari.

Bagaimanapun menurutnya, pemberian tol percuma yang ditamatkan kerajaan akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar.

“Mengikut keputusan mesyuarat Kabinet pada 2024 lalu, tiada lagi (tol percuma) dan 2024 ialah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma buat musim perayaan.

“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang mana perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Klang, Selangor, pada 21 Januari.

Pemberian tol percuma pada musim perayaan utama di Malaysia termasuklah pada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas sudah dinikmati rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Malah, pada tahun tertentu sebelum ini, diskaun tol turut ditawarkan di sesetengah lebuh raya pada perayaan Hari Raya Aidiladha atau Hari Kebangsaan.

Datuk Alexander bagaimanapun tidak menolak mungkin kerajaan Malaysia mempertimbangkan pemberian tol percuma pada masa tertentu yang akan dibincangkan kelak.

“Keputusan (menamatkan tol percuma pada musim perayaan) ini kerana kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Berdasarkan rekod sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan dalam menawarkan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar kerajaan.

Dianggarkan secara purata kerajaan membayar kira-kira RM20 juta ($6.07 juta) sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya sepanjang pelaksanaan tol percuma yang kebiasaannya dibuat dua hari ketika musim perayaan.

Pada 2024, kerajaan Malaysia dilaporkan membayar RM80.07 juta kos tol kepada syarikat konsesi sempena Aidilfitri; RM42.31 juta pada Deepavali; RM41.2 juta pada Tahun Baru Cina dan RM38 juta pada Krismas.

Pemberian tol percuma pada Krismas 2024 adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg