Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada tolak ansur bagi pegawai, anggota polis M’sia yang calar imej pasukan

Feb 15, 2024 | 11:32 AM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri), dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri), menyertai ucap ikrar di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada 14 Februari.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri), dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri), menyertai ucap ikrar di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada 14 Februari. - Foto JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melanggar etika kerja serta disiplin yang mencalar imej dan reputasi pasukan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang memberi peringatan itu susulan beberapa kes salah laku membabitkan pegawai dan anggota PDRM kebelakangan ini, berkata walaupun hanya membabitkan segelintir anggota, ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan buruk kepada seluruh pasukan.

“Saya tidak akan defensif (mempertahankan anggota) dalam bab ini. Sebagai agensi penguat kuasa yang terbesar di negara ini, maka pendekatan kita adalah ‘tidak akan bertolak ansur’ dalam kes begitu.

“Kita tidak boleh kata ini cuma segelintir saja, tetapi kena ambil pendekatan atau sikap yang betul iaitu ‘tiada kompromi’, tiada basa-basi.

“Sebab kita tahu daripada 120,000 kekuatan yang kita ada, ada watak yang mencalar reputasi pasukan yang sangat tidak adil dan tidak wajar, terutama kepada sebahagian besar yang berdedikasi,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berucap semasa Perhimpunan Bulanan kementerian itu pada 14 Februari yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beberapa kes membabitkan salah laku pegawai dan anggota polis dilaporkan media, antaranya membabitkan rasuah dan jenayah yang menimbulkan kebimbangan serta rasa tidak senang masyarakat.

Mengulas lanjut, Datuk Saifuddin meminta orang awam memberi ruang kepada PDRM menguruskan kes salah laku berkenaan berdasarkan undang-undang dan prosedur sedia ada.

“Saya menggesa orang awam memahami bahawa jika ‘tiada kompromi terhadap salah laku’ itu, bermaksud komitmen polis terhadap tugas hakiki itu tidak boleh dipertikai.

“Jika ada insiden seumpama itu, kita ada mekanisme untuk menguruskannya, sebab kita ada jawatankuasa di bawah Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang mempunyai bidang kuasa dalam isu pelanggaran disiplin ini,” katanya.

Sebagai contoh, katanya PDRM menerima antara 35,000 dengan 40,000 permohonan apabila perjawatan bagi mengisi kekosongan inspektor dibuka.

“Saya ada tanya panel temu duga, saya dimaklumkan yang memohon mempunyai pelbagai bakat, menguasai pelbagai bahasa, ada yang dalam kalangan peguam, bidang kelulusan bertaraf profesional. Ini menunjukkan minat untuk kerjaya polis masih tinggi,” ujarnya.

Dalam isu berasingan, Datuk Saifuddin turut meminta Jabatan Imigresen meneroka kaedah baru bagi kemasukan dari Singapura ke Malaysia melalui Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang dijangka beroperasi pada Mac 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg