JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 12 Ogos telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga lelaki yang didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine lebih satu tan (1,000 kilogram) pada Mac 2019.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pembelaan.
“Dalam menentukan hukuman ke atas semua tertuduh, mahkamah ini menimbangkan jumlah berat dadah berbahaya yang terbabit ialah 1,483,962.98 gram, selain cara dadah berbahaya diletak dalam peket ‘Guanyinwang’ dan dimasukkan dalam guni dan dijahit dengan tali rafia.
“Guni dadah disimpan dalam kontena di kawasan kolam ikan yang terbiar dan jauh dari jalan utama. Tindakan ini dilakukan untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.
“Berdasarkan alasan di atas, mahkamah ini menjatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati atas semua tertuduh pada tarikh, masa dan tempat yang ditentukan kelak,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Pang Ming Siong, 54 tahun; Cheng Foot Leong, 46 tahun, dan Tok Chun Wei, 41 tahun, didakwa mengedar lebih 1,483,962.68 gram (1,483.96kg) methamphetamine di sebuah kolam ikan di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru, kira-kira 7.30 pagi, pada 19 Mac 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Dalam hujahan pemberatan, Timbalan Pendakwa Raya Cik Lydia Salleh memaklumkan kes berkenaan adalah amat jarang berlaku kerana membabitkan jumlah dadah yang besar.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Encik Muhammad Abd Kadir dan Cik Khairul Nadia Hasni.
Pada 22 Mac 2019, media melaporkan sebanyak 2.06 tan syabu yang dianggar bernilai RM103.2 juta ($31.2 juta) menjadi rampasan yang terbesar dalam sejarah negara ketika itu.
Syabu yang dibungkus dalam 2,000 peket bungkusan teh Cina itu ditemui dalam kontena yang disimpan di kawasan kolam ternakan ikan dekat ladang kelapa sawit, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di Johor Bahru.
Rampasan itu hasil kejayaan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor selain kerjasama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Pada 31 Mac 2019, ketiga-tiga lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg