Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga pemimpin kanan Bersatu Terengganu letak jawatan
MARANG (Terengganu): Tiga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu meletakkan jawatan masing-masing dalam parti, sekali gus menyebabkan kepimpinan Bersatu negeri itu hampir lumpuh.
Mereka ialah Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, yang juga Exco Kerajaan Terengganu.
Dua lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Datuk Mohd Zawawi Ismail, yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu serta Adun Hulu Besut, Encik Mohd Husaimi Hussin, yang melepaskan jawatan sebagai Bendahari parti.
Datuk Razali, yang juga antara pengasas Bersatu ketika parti itu ditubuhkan pada 2016, telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 16 Julai.
“Setakat ini pihak ibu pejabat parti termasuk Tan Sri Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan untuk menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Razali turut mengesahkan akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Bersatu bahagian Marang pada pertengahan September depan.
Mengulas lanjut, Datuk Razali yang juga Adun Kijal berkata peletakan jawatan sebagai Ketua parti di Bahagian Marang akan berkuat kuasa pertengahan September ini disebabkan beliau perlu menyelesaikan pelbagai tugas parti di peringkat bahagian.
“Saya hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan dan Ketua Bahagian, tetapi masih kekal sebagai ahli parti,” katanya.
Difahamkan, seorang lagi pemimpin tertinggi parti yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Encik Khazan Che Mat juga akan mengikut jejak langkah Datuk Razali dan dua lagi yang meletak jawatan parti.
Encik Khazan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Nerus dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) enggan mengulas lanjut, tetapi mengeluarkan ungkapan kiasan, jika kepala tiada, ekor akan mengikuti.
“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Datuk Razali. Jika beliau letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan,” katanya.
Kepincangan dalam Bersatu semakin parah apabila ramai pemimpin dalam parti itu dipecat sejak Februari lalu.
Menyusuli itu, sebahagian besar ahli meninggalkan parti berkenaan dan menyertai parti lain antaranya Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan mantan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
