Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga terkait Global Ikhwan tak mengaku ‘sentuh’ kanak-kanak

Lagi 24 suspek termasuk pengerusi eksekutif direman
Sep 19, 2024 | 6:32 PM
Dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah, menghala ke Thailand.
Dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah, menghala ke Thailand. - Foto JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah atas 14 tuduhan melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak.

Dalam masa sama, 24 lagi individu termasuk pimpinan tertinggi kumpulan perniagaan itu dan keluarga ditahan reman tujuh hari bermula 19 September.

Di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan tiga tertuduh terbabit iaitu, Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21 tahun; Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20 tahun, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Muhammad Habib didakwa atas lima tuduhan iaitu merangsang mangsa secara seksual dan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak lelaki di pusat jagaan atau madrasah itu sejak 2022 hingga 2023.

Muhammad Khunais Fathie pula didakwa atas enam tuduhan, seterusnya Ahmad Nadzful Izham tiga tuduhan, semuanya atas kesalahan melakukan serangan seksual fizikal kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan terhadap lima mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 11 tahun ketika kejadian, yang mana tiga daripada mereka mempunyai pertalian adik-beradik di madrasah berkenaan antara 2022 dan 2023.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 ($3,679) bagi setiap tuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, tidak menganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Pada 11 September lalu, Malaysia dikejutkan dengan kejayaan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 20 rumah amal didakwa kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, menerusi Op Global.

Mengejutkan apabila ada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan mendakwa mereka dieksploitasi, didera dan dipaksa melakukan liwat. Ujian perubatan terhadap 13 daripada ratusan kanak-kanak dan remaja terbabit mendapati mangsa pernah diliwat.

Sementara itu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan Pengerusi Eksekutif GISBH, isteri serta dua anak mereka antara 24 individu yang direman tujuh hari bermula 19 September.

Seramai 19 individu berusia antara 25 dan 65 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes syarikat yang mempunyai rangkaian perniagaan di serata dunia itu terlibat dalam eksploitasi, pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

Mereka ditahan sekitar 5.40 pagi pada 19 September, selepas polis menyerbu empat unit kondominium di Kuala Lumpur.

Terdahulu kira-kira 6 petang 18 September, polis menahan lima lelaki berusia 30 hingga 41 tahun termasuk seorang anak kepada Pengerusi GISBH dan merampas dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, menghala ke Thailand.

Tular dakwaan mengatakan ia adalah cubaan melarikan aset syarikat ke Thailand. Jabatan Imigresen (JIM) Kedah dalam kenyataannya melaporkan kenderaan itu didakwa mahu dibawa keluar untuk memperbaharui dokumen Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) yang hampir tamat tempoh.

“Maklumat awal menyatakan kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu di Qatar, bukan milik GISBH dan menggunakan nombor pendaftaran Dubai. Perkara ini menjadi lebih hangat apabila anak kepada Pengerusi GISBH, turut berada di tempat kejadian.

“Situasi ini mencetuskan kebimbangan ramai mengenai kemungkinan aset penting syarikat serta bukti berkaitan dibawa keluar dari Malaysia. Walaupun tiada pelanggaran undang-undang Imigresen dikesan, JIM memutuskan bekerjasama rapat dengan polis bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kesemua lima individu itu turut direman bermula 19 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg