Topic followed successfully
Go to BHkuTikam gadis 61 kali hingga maut di Kelantan: Penuntut kolej didakwa membunuh
Tikam gadis 61 kali hingga maut di Kelantan: Penuntut kolej didakwa membunuh
Mahkamah tetapkan 2 Jul sebagai tarikh sebutan kes
Tikam gadis 61 kali hingga maut di Kelantan: Penuntut kolej didakwa membunuh
KOTA BHARU: Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, pada 12 Mei atas tuduhan membunuh seorang gadis yang mayatnya ditemui di tepi jalan dekat Kampung Kubang Kiat, Ketereh, Kota Bharu, dengan 61 kesan tikaman di seluruh tubuhnya pada 1 Mei lalu.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19 tahun, hanya mengangguk faham ketika tuduhan membunuh Nurfisya Zulkifly, 19 tahun, dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut tuduhan, Muhammad Hazim didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya antara 11.40 malam 30 April hingga 12.20 pagi 1 Mei di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh, lapor Berita Harian Malaysia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Encik Muhammad Nadzir Abdullah dan Encik Ahmad Naabil Mohamed Asri.
Tertuduh pula diwakili peguam, Encik Mohd Alias Ibrahim.
Terdahulu, Wan Azimah memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Allahyarhamha Nurfisya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui di kawasan terbabit.
Menyusuli kejadian itu, polis menahan reman empat individu termasuk dua warga emas, yang juga ibu bapa kepada suspek, sebelum warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.
Kawasan penemuan mayat Nurfisya diketahui sebagai kawasan yang gelap dan sering menjadi tumpuan golongan ‘mat rempit’ atau lumba motosikal haram.
Seorang rakan Nurfisya yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Nurul sebelum ini dilaporkan berkata Allahyarhamha seorang rakan yang sangat baik dan ceria.
Malah menurut Cik Nurul, Allahyarhamha pernah berkongsi mengenai tertuduh yang dikenalinya sejak kira-kira setahun lalu dalam perbualan mereka sebelum ini, namun tidak pasti hubungan sebenar mereka.
Menurut abang Nufisya, Encik Mohd Faris, sebelum kejadian, Allahyarhamha baru dihantar pulang oleh keluarga ke kolej berkenaan pada 25 April lalu untuk menyambung semester baru, dan mereka terkejut menerima berita pilu kematiannya selepas dihubungi polis pada tengah hari 1 Mei.
