Topik diikuti
Pergi ke BHkuTimbalan ketua AMK Pandan dan majoriti pimpinan keluar PKR, sertai Bersama.
Timbalan ketua AMK Pandan dan majoriti pimpinan keluar PKR, sertai Bersama.
Timbalan ketua AMK Pandan dan majoriti pimpinan keluar PKR, sertai Bersama.
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pandan, Encik Haqimi Zamri bersama 18 daripada 26 ahli jawatan kuasa (AJK) sayap berkenaan meletak jawatan serta-merta, mengikut jejak Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengosongkan jawatan ketua cabang dan Ahli Parlimen (AP) kawasan itu.
Pada sidang media 21 Mei, Encik Haqimi Zamri berkata, mereka turut disertai pengerusi tetap AMK cabang, manakala 14 daripada AJK terbabit turut keluar PKR dengan notis makluman rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dalam masa terdekat, lapor Berita Harian Malaysia.
Serentak itu, beliau mendakwa, struktur kepimpinan AMK Pandan turut terbubar secara automatik selepas hilang korum mengikut Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 37.12 Perlembagaan PKR dibaca bersama Fasal 32.4.
Encik Haqimi yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Datuk Rafizi sewaktu di Kementerian Ekonomi, berkata beliau memilih menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan permohonan keahlian dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Beliau mendakwa keputusan itu turut dipengaruhi perkembangan politik sejak setahun lalu yang menaikkan suhu politik negara, membabitkan pemilihan PKR yang didakwanya dimanipulasi untuk menguntungkan pihak tertentu.
“Ia lebih kepada isu-isu negara yang lebih kritikal seperti isu rasuah melibatkan inner circle (kelompok rapat) Perdana Menteri sendiri, isu mafia korporat dan banyak lagi.
“Mengambil kira perkembangan-perkembangan ini, kami mengambil keputusan untuk kekal bersama Datuk Rafizi yang selama ini banyak menabur bakti sepanjang menjadi AP Pandan,” katanya.
Encik Haqimi mendakwa, lebih menjengkelkan apabila ada pemimpin yang berubah pendirian selepas kehilangan jawatan ahli majlis, termasuk ada juga memilih untuk mengkhianati Datuk Rafizi meskipun dicalonkan oleh bekas AP Pandan itu.
“Kami amat terkilan apabila terdapat individu yang selama ini menumpang kekuatan, pengaruh dan sokongan Datuk Rafizi untuk memenangi jawatan dalam parti di Pandan akhirnya memilih untuk ‘menyeberang’ apabila kuasa dan kedudukan mula menjadi keutamaan.
“Kami teringat akan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara suatu ketika dahulu. Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan ‘penjilat’. Hari ini, kami melihat sendiri bagaimana golongan seperti ini semakin berakar dalam PKR dan menjadi budaya yang tidak lagi boleh kami terima,” katanya.
