Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi tegas enggan berdamai dengan PKR, dakwa parti pimpinan Anwar sudah ‘rosak’
Rafizi tegas enggan berdamai dengan PKR, dakwa parti pimpinan Anwar sudah ‘rosak’
Rafizi tegas enggan berdamai dengan PKR, dakwa parti pimpinan Anwar sudah ‘rosak’
Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, menegaskan keputusan untuk tidak kembali ‘berdamai’ dengan parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, dibuat berikutan parti itu dilihat sudah ‘rosak’ dan hilang prinsip keadilan yang menjadi asas perjuangan selama ini.
Datuk Rafizi, yang juga mantan Menteri Ekonomi dan mantan Ahli Parlimen (AP) Pandan, turut menjelaskan keputusan meninggalkan PKR bukan berpunca daripada soal merajuk kerana hilang jawatan dalam parti.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat seawal April 2025, iaitu sebelum proses pemilihan PKR berlangsung pada 25 Mei tahun yang sama, selepas beliau mendakwa sudah dapat membaca arah dan corak perjalanan politik dalaman PKR.
Beliau berkata dua minggu selepas pengumuman Datuk Anwar yang ‘memberi laluan mudah’ kepadanya, beliau sudah mula menilai mesej sebenar yang disampaikan bukan sekadar tawaran jawatan, tetapi berkaitan kedudukan dan pengaruh dalam parti.
“Mesej sebenar Datuk Anwar ialah, ‘saya tak nak you (kamu) ada pengaruh dalam parti (PKR). Jadi teknokrat. Duduk diam. Terima jawatan Timbalan Presiden tanpa bertanding, tapi dari cabang sampai MPP (Majlis Pimpinan Pusat), semua orang saya (Datuk Anwar)’.
“Maksudnya apa? Duduk sorang-sorang dalam MPP. Kena maki, kena dengar, jadi rubber stamp. Depan cakap lain, belakang cakap lain, buat lain, umum lain.
“Saya tak masuk politik untuk menang. Tak masuk politik untuk jadi menteri. Tak masuk untuk pangkat. Saya masuk politik sebab saya rasa ada peranan untuk membetulkan keadaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 19 Mei.
Datuk Rafizi turut mendakwa terdapat perubahan dalam struktur dan proses dalaman parti, yang menurutnya, menimbulkan persoalan mengenai amalan keadilan, termasuk berkaitan sistem pemilihan, peranan kepimpinan, serta penglibatan pelbagai pihak dalam jentera parti.
Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap PKR yang disifatkannya sudah hilang sense of fairness (keadilan) dalam parti, yang menurutnya menjadi asas penting kepada sebuah pertubuhan politik.
Katanya lagi, kepercayaan bahawa keadaan boleh diperbetulkan selepas perubahan kepimpinan tidak lagi relevan kerana sistem yang sama boleh mengulangi masalah yang sama.
“Keanggotaan RM200 ($64.30) untuk jadi ahli baharu, laporan polis mengenai rasuah, setiausaha-setiausaha politik PM sendiri menggerakkan jentera, blockchain (sistem pengurusan data yang didakwa tidak telus), fenomena kepala tanpa badan, sistem satu ahli satu undi dibuang dan diganti dengan sistem perwakilan.
“Apabila sesebuah parti dah hilang perkara paling asas iaitu keadilan, parti itu sudah ‘rosak’.
“Mencuri boleh. Menipu boleh. Salah guna kuasa boleh. Dah tak perlu tanya betul atau salah. Sistem yang ditipu sekali boleh ditipu lagi. Dah tak ada ruang. Kecuali saya pergi cium tangan.
“Tapi bukan sebab itu saya dalam politik. Panggil prinsip ke, merajuk ke, apa pun. Tapi garis merah itu sudah dilanggar. Dan dilanggar dengan teruk sekali,” katanya.
Datuk Rafizi, pada 17 Mei, membuat pengumuman yang sudah dijangka ramai, dengan meninggalkan PKR yang dianggotainya sejak 1999. Turut mengikut jejak langkah beliau adalah mantan AP Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pada pengumuman sama, Datuk Rafizi dan Nik Nazmi, turut mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, serta menyertai satu gerakan baharu yang sudah ditubuhkan sejak 2016 – Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Sebelum ini pada Mei 2025, Datuk Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletakkan jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, selepas tewas dalam pemilihan parti itu.
