Timbalan Menteri iring tertuduh kes provokasi agama di mahkamah undang kecaman
Timbalan Menteri iring tertuduh kes provokasi agama di mahkamah undang kecaman
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Encik M Kulasegaran, menimbulkan persoalan dan kontroversi apabila beliau dilihat mengiringi tertuduh kes provokasi agama yang juga aktivis, Arun Dorasamy, di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, pada 17 Mac.
Beberapa pihak, termasuk pemimpin politik dan anggota Kerajaan Perpaduan menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Encik Kulasegaran menjelaskan kehadirannya di mahkamah hanya untuk bertemu secara ringkas dengan Arun di luar bilik mahkamah dan memberi kata-kata semangat, sambil menasihatkan beliau untuk mempercayai proses perundangan yang bakal dihadapinya.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat (Perak) daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), menafikan berada dalam mahkamah ketika prosiding membabitkan Arun berlangsung, sebaliknya hanya bertemu secara ringkas dengan individu itu di luar Mahkamah Majistret Jawi.
“Saya singgah di mahkamah itu ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang untuk bertemu Arun bagi memberi kata-kata semangat supaya beliau mempercayai proses perundangan yang bakal dihadapinya.
“Saya mengenali Arun sejak saya mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan anak-anaknya.
“Saya ingin menjelaskan hanya bertemu Arun secara ringkas di sekitar kawasan kompleks mahkamah sebelum beredar.
“Saya tidak berada dalam bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada 17 Mac.
Pada 17 Mac, media Malaysia melaporkan Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56 tahun, merupakan antara tiga individu yang didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan di media sosial dengan niat menimbulkan kegusaran orang ramai pada Mac 2025.
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Pada 18 Mac, empat pemimpin Melayu DAP – Sheikh Umar Bagharib Ali, Cik Young Syefura Othman, Encik Syahredan Johan dan Cik Syerleena Abdul Rashid – dalam satu kenyataan bersama tidak bersetuju dengan tindakan Encik Kulasegaran yang telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara.
“Kami ambil maklum penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip keadilan bukan saja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dalam hantaran di Facebook mempersoalkan bagaimana seorang Timbalan Menteri yang pernah menjadi peguam tidak memahami perkara itu yang boleh mengundang persepsi awam kepada ketelusan undang-undang di Malaysia.
“Tindakan sebegini menimbulkan persepsi yang tidak sihat terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman dan kesaksamaan undang-undang.
“Mahkamah adalah institusi yang mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (Pemuda), Encik Faezuddin Puad, pula bimbang tindakan Encik Kulasegaran itu boleh merosakkan imej Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mata rakyat.
“Kita tak nak perkara ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat, seolah-olah kerajaan memihak kepada Arun atau cuba menunjukkan sokongan politik terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan.

