KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai Persidangan Khas bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pada pagi 11 Ogos.

Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan atas alasan ketiadaan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjalani pembedahan, ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pemakluman untuk tidak menyertai itu sidang khas itu dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan, dan dipersetujui oleh Tan Sri Johari.

Menyusuli itu, ahli-ahli Parlimen PN dilihat bangkit dari tempat duduk masing-masing secara bersama untuk mula beredar keluar dari dewan, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar telah selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia) pada 10 Ogos.

Ketua Pasukan Perubatan kepada Datuk Anwar, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, berkata prosedur berkenaan berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan dan beliau akan dipantau selama dua hari sehingga 11 Ogos.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata tindakan Ahli Parlimen (AP) pembangkang keluar beramai-ramai daripada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu menunjukkan mereka tidak serius dalam isu RCI TH.

“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.

“Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI TH ini, mereka memilih untuk keluar.

“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu TH ini dibahaskan?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 11 Ogos.

AP Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut membidas AP pembangkang yang memboikot perbahasan pembentangan laporan RCI TH itu dan tidak bersetuju tanggungjawab lebih 221 AP yang sihat terhenti hanya kerana Datuk Anwar tidak sihat.

“Sangat malang sekali kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu/Islam memilih untuk boikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi golongan Melayu/Islam.

“Kita bukan boikot Perdana Menteri, kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit TH.

“Disebabkan itu, sebagai AP pembangkang, saya tidak memilih untuk memboikot, tetapi Muar memilih untuk berbahas menggunakan fakta dan data supaya maruah, integriti dan nama baik lebih 10 juta pendeposit TH dapat dibela,” katanya yang turut berbahas.

Persidangan Khas Parlimen itu bagi membuka ruang kepada AP untuk meneliti dan membahaskan laporan RCI setebal 211 halaman yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Laporan RCI itu antaranya mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan.