Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita dituduh subahat culik keluarga sendiri, tuntut tebusan RM20j

Nov 11, 2024 | 12:11 PM
Suri rumah yang juga nenek kepada empat cucu, Chan Wan Kooi, 57 tahun (tengah), dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, atas tuduhan bersuhabat bersama tiga lelaki menculik seorang ahli perniagaan yang juga dipercayai ahli keluarganya, pada 13 Oktober.
Suri rumah yang juga nenek kepada empat cucu, Chan Wan Kooi, 57 tahun (tengah), dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, atas tuduhan bersuhabat bersama tiga lelaki menculik seorang ahli perniagaan yang juga dipercayai ahli keluarganya, pada 13 Oktober. - Foto KOSMO!.

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang terlibat dalam kejadian penculikan seorang ahli perniagaan dan meminta tebusan RM20 juta ($6.03 juta) pada 13 Oktober, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, pada 10 November.

Suri rumah yang juga nenek kepada empat cucu, Chan Wan Kooi, 57 tahun, yang didakwa di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad, faham tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak yang dipercayai ahli keluarga mangsa, memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa melakukan subahat jenayah dengan tiga individu, Chong Shih Ming, 46 tahun; warga Vietnam Luong Van Tung, 39 tahun, dan Tran Van Chung, 29 tahun, untuk menculik seorang ahli perniagaan lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata wanita itu didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan tiga lagi untuk menculik mangsa, lapor The Star.

Pada 4 November, Chong mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menculik mangsa bersama Luong dan Tran, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan RM20 juta.

Mereka didakwa melakukan kesalahan menculik mangsa kira-kira 5 pagi, pada 13 Oktober.

Seorang warga Vietnam, Nguyen Ngoc Ngan, pula didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 November, atas tuduhan melupuskan kereta sedan Jepun, yang digunakan dalam kes penculikan yang sama di Jalan Keembong 39, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, untuk melindungi Chong.

Pada hari yang sama, dua lagi lelaki iaitu Tan Kuan Wei, 43 tahun, dan Siow Book Pin, 38 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor, atas tuduhan melupuskan pistol yang digunakan dalam penculikan pemaju hartanah itu, untuk melindungi Chong.

Media sebelum ini melaporkan mangsa dijadual berangkat untuk urusan perniagaan sebelum diculik dan penculik meminta wang tebusan RM30 juta.

Bagaimanapun, selepas berunding, ia dikurangkan kepada RM20 juta.

Mangsa kemudian membuat laporan sebelum polis berjaya menahan 14 suspek.

Pihak berkuasa turut menemui lebih RM7 juta wang tebusan daripada keseluruhan RM20 juta yang dibayar mangsa kepada kumpulan penculik itu. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg