SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lelaki maut dipijak gajah liar dalam ladang di Sabah

Lelaki maut dipijak gajah liar dalam ladang di Sabah

Mangsa diserang tanpa amaran ketika menutup pagar kebun bersama anak
Apr 13, 2026 | 2:29 PM

Lelaki maut dipijak gajah liar dalam ladang di Sabah

LAHAD DATU (Sabah): Seorang warga emas menemui ajal di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, Lahad Datu, Sabah, petang 12 April, dipercayai akibat dipijak gajah liar.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun dilaporkan sedang menutup pagar kebun bersama anak lelakinya, sebelum diserang haiwan tersebut tanpa amaran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau, berkata siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan dipijak oleh gajah liar tersebut.

“Anak mangsa yang berusia 38 tahun sempat menyelamatkan diri, lalu menjerit meminta bantuan sambil cuba menarik perhatian gajah berkenaan.

“Tidak lama kemudian, haiwan itu beredar dari lokasi kejadian. Gajah itu dipercayai bertindak bersendirian, bukan dalam kumpulan,” jelasnya dalam kenyataan pada 13 April, lapor laman web Astro Awani.

Beliau menambah, setelah keadaan dipastikan selamat, anak mangsa segera mendapatkan bapanya sebelum bergegas membawanya ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

Namun, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah, dipercayai dipijak gajah liar.

“Pemeriksaan awal mengesan patah tulang pada betis dan tulang rusuk mangsa,” tambahnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, Encik Jimmy menasihati penduduk, terutama di sekitar Tungku, agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan itu.

Sebelum ini, pada Oktober 2025, seorang mandur balak maut dipercayai diserang gajah liar di kawasan rumah kongsi Felda Aring 8, Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata mangsa, Allahyarham Saidi Jahari, 43 tahun, ditemukan tidak bernyawa di jalan keluar kawasan kongsi terbabit dengan kesan kecederaan parah, dipercayai dipijak gajah liar.

Pada Oktober 2024 pula, seorang warga emas yang hilang selepas keluar ke kebun di Kampung Basung, Hulu Terengganu, Terengganu, ditemukan maut, turut dipercayai diserang gajah liar.

Mayat Musa Ahmad, 65 tahun, ditemukan penduduk kampung di sekitar kebun, kira-kira 50 meter dari jalan raya, di tengah laluan kabel dalam semak, kawasan yang dipercayai laluan gajah berdasarkan kesan disyaki tapak kaki gajah di situ.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg