Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi kebakaran Putra Heights: Petronas Gas berdepan impak kewangan RM60j

Jul 2, 2025 | 4:38 PM
Lebih 80 kediaman musnah dalam kejadian letupan dan kebakaran besar akibat kebocoran gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April 2025, menyebabkan kerugian dianggarkan RM65.4 juta dan ratusan penduduk cedera.
Lebih 80 kediaman musnah dalam kejadian letupan dan kebakaran besar akibat kebocoran gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April 2025, menyebabkan kerugian dianggarkan RM65.4 juta dan ratusan penduduk cedera. - Foto fail BH

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd dijangka berdepan dengan impak kewangan sebanyak RM60 juta ($18.17 juta) bagi tahun kewangan 2025, terutama susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April.

Penganalisis CIMB Securities, Encik Foong Choong Chen, berkata pada akhir Mei 2025, Petronas Gas menganggarkan kos kerja pembaikan dan pemulihan aset berjumlah kira-kira RM170 juta.

Beliau berkata sebahagian besar jumlah itu dijangka diperuntukkan sebagai perbelanjaan modal, dengan sebahagiannya dijangka diperoleh semula melalui tuntutan insurans sekitar RM50 juta.

Menurutnya, kerugian pendapatan akibat gangguan perkhidmatan pula diunjurkan minimum, iaitu sekitar RM20 juta berdasarkan hasil kerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, pengangkut gas dan pengedar yang membolehkan pemulihan segera perkhidmatan saluran paip dan penstabilan bekalan.

“Secara keseluruhan, Petronas Gas menganggarkan kesan pendapatan berjumlah RM60 juta bagi tahun kewangan 2025 yang sebahagian besarnya akan diiktiraf dalam keputusan suku kedua dan ketiga 2025.

“Anggaran Petronas Gas ini tidak mengambil kira kemungkinan denda kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga atau liabiliti kepada pihak ketiga.

“Walaupun risiko ini masih belum dapat diketepikan sepenuhnya, kemungkinannya mungkin lebih rendah memandangkan siasatan telah mengaitkan insiden Putra Heights tersebut terutamanya kepada keadaan tanah yang tidak stabil,” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Foong berkata laporan siasatan merumuskan kebakaran Putra Heights berpunca daripada kegagalan saluran paip akibat keadaan tanah yang tidak stabil.

Beliau berkata siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyimpulkan bahawa keadaan tanah yang tidak stabil di bawah saluran paip milik Petronas Gas menyebabkan kegagalan fizikal pada paip tersebut, yang akhirnya mengakibatkan kebocoran gas dan mencetuskan kebakaran di Putra Heights pada 1 April lalu.

JKKP turut menjelaskan bahawa saluran paip tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan kegagalan itu bukan berpunca daripada kegiatan di permukaan tanah.

Menurutnya, siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Malah kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut menjelaskan pasukan teknikal mendapati saluran paip itu terkesan akibat mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (cm) sepanjang tempoh 25 tahun lalu, yang membawa kepada peralihan saluran paip sejauh 15.9 cm.

“Keadaan ini dikaitkan dengan beberapa faktor alam sekitar termasuk tanah yang tidak stabil, takungan air bawah tanah yang berpanjangan, sistem perparitan dan saluran monsun yang terjejas, tekanan berkaitan iklim serta pembangunan bandar yang padat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg