Laporan hasil siasatan tragedi letupan dan kebakaran dahsyat akibat kebocoran paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April lalu, tidak menemukan sebarang unsur sabotaj, khianat dan kecuaian manusia.
Sebaliknya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang bertanggungjawab untuk membuat penilaian teknikal kejadian itu merumuskan pergerakan paip berulang kali akibat struktur tanah yang lemah dikenal pasti menyebabkan punca kebocoran paip gas.
Ia kemudian mencetuskan letupan dan kebakaran dahsyat, hingga memusnahkan puluhan kediaman penduduk di kawasan itu.
Bagaimanapun, siasatan yang mengambil masa tiga bulan melibatkan 35 agensi itu juga setakat ini tidak memutuskan pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dalam kejadian itu, sekali gus menimbulkan banyak persoalan dan mencetus kebimbangan penduduk terlibat.
Mantan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Cik Yeo Bee Yin, antara yang tegas mahu Petronas selaku pemilik saluran paip gas itu bertanggungjawab penuh terhadap kejadian berkenaan, walaupun laporan siasatan menafikan faktor kecuaian sebagai punca kejadian.
“Walaupun siasatan menunjukkan tiada unsur sabotaj atau niat jenayah, saya tidak bersetuju bahawa kecuaian tidak berlaku.
“Sebagai pemilik saluran paip itu, Petronas sepatutnya memastikan semua aset mereka diselenggara dalam keadaan baik.
“Keadaan bawah tanah tidak seharusnya menjadi alasan untuk kegagalan struktur berskala besar dengan magnitud ini.
“Oleh itu, Petronas mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerugian akibat kebakaran besar di Putra Heights,” katanya dalam kenyataan pada 1 Julai.
Cik Yeo yang juga Ahli Parlimen Puchong (Selangor) berkata walaupun kerajaan dan orang ramai telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran, bantuan itu tidak mencukupi untuk mengimbangi kerugian fizikal, mental dan psikologi yang ditanggung.
“Saya menyeru Petronas untuk bertanggungjawab dan memberikan pampasan penuh kepada semua mangsa kebakaran Putra Heights, sesuai dengan kehilangan sebenar mereka.
“Petronas juga mesti segera menjalankan penilaian struktur yang menyeluruh ke atas keseluruhan rangkaian saluran paip gas miliknya di Semenanjung sepanjang 2,623 kilometer bagi memastikan kejadian serupa tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Puchong Batu 13, Selangor, Encik Fiqrie Jusdeen, 33 tahun, berkata penduduk yang terjejas meluahkan rasa kecewa dengan laporan siasatan kejadian.
“Penduduk terjejas memang tertunggu-tunggu siapa yang bersalah dan dipertanggungjawabkan untuk mereka menuntut pampasan kerugian.
“Betul kerajaan ada beri bantuan, tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung nilai kerugian sebenar akibat kejadian.
“Selepas laporan semalam (30 Jun) penduduk adakan pertemuan dengan Petronas untuk pastikan tahap keselamatan kawasan itu dan menuntut jaminan keselamatan daripada Petronas.
“Pihak Petronas sepatutnya mempunyai sistem terbaik untuk mengenal pasti kes kebocoran gas sebegini kerana ia melibatkan nyawa,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Dalam pembentangan laporan siasatan tragedi Putra Heights itu pada 30 Jun, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Encik Husdin Che Amat, berkata hasil siasatan juga mendapati kejadian itu bukan terjadi akibat kegiatan di permukaan tanah dan paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pula berkata satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan menyusuli laporan siasatan itu, bagi mencadangkan langkah susulan termasuk peraturan baru yang boleh dirangka untuk mengelak tragedi sama berulang pada masa depan.
Laporan siasatan itu menumpukan dua aspek iaitu daripada sudut teknikal merangkumi keutuhan paip, keadaan tanah dan kemungkinan wujud kegiatan manusia yang memungkinkan berlakunya kejadian itu, selain aspek kemungkinan jenayah sabotaj atau khianat dalam kejadian itu.
Kejadian kebakaran dahsyat pada hari kedua Aidilfitri itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 sebahagiannya musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg