Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan tragedi letupan Putra Heights: Tiada unsur khianat, struktur tanah lemah jadi punca pergerakan paip dan cetus letupan

Jun 30, 2025 | 8:01 PM
Struktur tanah yang lemah menyebabkan pergerakan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April lalu, mencetuskan letupan dan kebakaran besar.
Struktur tanah yang lemah menyebabkan pergerakan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April lalu, mencetuskan letupan dan kebakaran besar. - Foto fail NSTP

Tiada unsur khianat atau kecuaian dikenal pasti dalam siasatan tragedi letupan paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 1 April lalu.

Sebaliknya pergerakan paip berulang kali akibat struktur tanah yang lemah dikenal pasti punca kejadian yang memusnahkan puluhan kediaman penduduk di situ.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Encik Husdin Che Amat, berkata hasil siasatan juga mendapati kejadian itu bukan terjadi akibat aktiviti di permukaan tanah, tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong struktur paip dengan baik.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) di kawasan kejadian yang dikenal pasti lembut dan lembap. 

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar.

“Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip.

“Analisis metalografi (ilmu logam) menunjukkan tensile overload (lebihan tegangan) menjadi punca utama kegagalan. Kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile (ductile failure) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran.

“Kesimpulannya, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup,” katanya pada sidang media pembentangan laporan siasatan tragedi itu di Shah Alam, Selangor, pada 30 Jun.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Kejadian kira-kira 8.08 pagi pada hari kedua sambutan Aidilfitri 1 April lalu menyebabkan kira-kira 80 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih 40 peratus, 81 lagi separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar.

Dalam tragedi itu api kebakaran menjulang setinggi kira-kira 30 meter dan letupan paip gas yang mencetus kebakaran itu menyebabkan lubang seperti kawah sedalam kira-kira 10 meter terbentuk.

JKKP Malaysia telah menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Siasatan itu dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas, serta pengambilan sampel untuk analisis makmal.

Terdahulu Datuk Amirudin berkata menyusuli laporan hasil siasatan insiden dan letupan dan kebakaran Putra Heights itu, satu Jawatankuasa Khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan ditubuhkan melibatkan pakar termasuk Petronas.

“Jawatankuasa ini akan mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah susulan daripada aspek perundangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan, supaya kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa laporan siasatan ini akan menjadi asas kepada analisis risiko di setiap kawasan yang seumpamanya,” katanya.

Datuk Hussein pula berkata siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertumpu kepada dua aspek utama iaitu kemungkinan perbuatan khianat dan unsur kecuaian, namun tiada bukti menunjukkan elemen terbabit menjadi punca letupan.

Dalam pada itu Encik Husdin menambah, pihak Petronas juga telah mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan jajaran paip gas sepanjang 2,680 kilometer merentas beberapa negeri termasuk Johor dan sempadan Singapura, untuk memastikan keselamatan paip di kawasan-kawasan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg