Topic followed successfully
Go to BHkuTumpahan bahan kimia kilang di Kedah: Seorang pengsan, 16 pedih mata, muntah
Tumpahan bahan kimia kilang di Kedah: Seorang pengsan, 16 pedih mata, muntah
Tumpahan bahan kimia kilang di Kedah: Seorang pengsan, 16 pedih mata, muntah
SUNGAI PETANI (Kedah): Seorang pekerja pengsan, manakala 16 mangsa lain mengalami pedih mata dan pening kepala serta muntah akibat terhidu tumpahan bahan kimia natrium hipoklorit di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di kilang pembuatan sarung tangan getah itu pada 3.04 petang, 27 Jun.
Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani diketuai Encik Yazid Ismail bersama 16 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setiba di lokasi, didapati 17 mangsa dilaporkan terkesan akibat kejadian itu. Seorang dilaporkan pengsan dan 16 lagi mengalami pedih mata dan pening kepala.
“Jumlah itu membabitkan 15 wanita dan dua lelaki dipercayai pekerja kilang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.
Jurucakap itu berkata mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, manakala tiga mangsa yang mengalami pedih mata dihantar ke klinik berhampiran oleh pihak kilang.
Sementara itu, enam lagi mangsa dihantar oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital selepas mengadu pening kepala dan pedih mata.
“Pasukan Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Kulim Hi-Tech kemudian dimaklumkan berhubung kejadian itu.
“Tumpahan bahan kimia natrium hipoklorit itu dianggarkan berlaku sebanyak 60 liter dan tindakan nyah cemar dilakukan di lokasi menggunakan air,” katanya.
Jurucakap itu berkata penggunaan kertas litmus untuk mengesan bacaan asid telah dilakukan dan didapati dalam keadaan normal.
Dalam pada itu, katanya, tujuh lagi mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5.23 petang bagi pemeriksaan susulan berikutan dilaporkan mengalami pedih mata dan pening kepala.
“Operasi tamat pada 5.48 petang,” katanya.
