Topik diikuti
Pergi ke BHkuTurun padang perkukuh kepercayaan rakyat, dengar nadi penduduk
Turun padang perkukuh kepercayaan rakyat, dengar nadi penduduk
Turun padang perkukuh kepercayaan rakyat, dengar nadi penduduk
JOHOR BAHRU: Kempen pilihan raya bukan sekadar medan menyampaikan ucapan atau meraih undi, sebaliknya ruang untuk memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pendekatan turun padang memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pandangan, harapan dan permasalahan yang dihadapi rakyat.
“Bagi saya, kempen adalah menghadirkan diri di tengah-tengah masyarakat, berjabat tangan dengan penuh keikhlasan, mendengar dengan hati dan menghargai setiap pandangan yang diberikan.
“Setiap pertemuan dan perbualan bersama rakyat menjadi amanah untuk saya terus berkhidmat dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Jun.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Medan Selera Taman Mas.
Menurut beliau, sokongan dan pandangan yang diterima daripada masyarakat akan terus dijadikan panduan dalam usaha memperjuangkan kepentingan penduduk di Bukit Permai.
Terdahulu, pada 29 Jun, Datuk Mohd Jafni turut mengadakan pertemuan bersama penduduk dan jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Murni Jaya.
Beliau berkata sepanjang diberikan amanah sebagai wakil rakyat, pelbagai isu melibatkan penduduk sentiasa diberikan perhatian, namun masih banyak usaha yang perlu diteruskan bagi memastikan Bukit Permai terus membangun secara lebih tersusun, selesa dan sejahtera.
“Saya percaya apabila pemimpin sentiasa turun padang, mendengar dengan hati yang terbuka dan bertindak dengan penuh tanggungjawab, kepercayaan rakyat akan terus subur.
“Masih banyak yang perlu dilakukan demi memastikan Bukit Permai terus maju dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti dan penduduk yang hadir sepanjang program kempen, selain menyifatkan semangat yang ditunjukkan sebagai pemangkin untuk terus berkhidmat.
Sehubungan itu, Datuk Mohd Jafni memohon sokongan pengundi DUN Bukit Permai pada hari pengundian nanti bagi membolehkannya meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.
“Berikanlah peluang kepada calon BN untuk meneruskan usaha yang telah kita mulakan bersama.
“Insya-Allah, amanah ini akan terus saya pikul dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Kerusi DUN Bukit Permai menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Jafni daripada Barisan Nasional (BN) akan dicabar Encik Mohamad Shafwan Ani daripada Pakatan Harapan (PH), Cik M Lina Manoh mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Encik Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof calon Parti Bersama Malaysia (Bersama).
