PORT DICKSON (Negeri Sembilan): Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yakin Parti Cina Malaysia (MCA) akan kekal dalam gabungan itu walaupun kemungkinan berlakunya gerakan keluar daripada BN dalam parti terbabit.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata ini kerana MCA dan MIC (Kongres India Malaysia) adalah pemangkin kepada kewujudan BN.
“Tak ada (MCA mungkin keluar BN), (jika berlaku) saya akan diberitahu sendiri oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).
“Mungkin ada gerakan dilakukan (pihak tertentu), saya pun ada dikhabarkan begitu, tetapi keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka tidak begitu, Insya-Allah mereka tetap bersama dengan kita (BN),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak Umno Bahagian Port Dickson, di Negeri Sembilan, pada 15 Jun petang.
Datuk Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai mesyuarat perwakilan bahagian MCA yang sedang berlangsung dijangka akan menentukan sama ada parti itu akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan Umno pada perhimpunan agung tahunan parti itu yang dijangka pada Oktober tahun ini.
Isu itu dikatakan timbul berikutan meningkatnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi MCA yang mendakwa parti itu dipinggirkan Umno.
Datuk Ahmad Zahid berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, MCA mengalami permasalahan kerana mereka tidak dapat mengekalkan kerusi yang sedia ada.
Katanya Umno perlu menjaga rakan dalam parti komponen itu dengan baik dan membantu jika mereka menghadapi masalah.
“Umno mesti menjaga rakan-rakan kita jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kita perkukuhkan dan saya yakin rakan kita akan terus bersama dengan gagasan BN ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, BN akan tetap menggunakan lambang dacing sebagai lambang dalam parti gabungan itu pada PRU-16 akan datang.
Untuk rekod, sebelum ini MCA pernah beberapa kali ‘mengugut’ akan keluar BN kerana tidak berpuas hati dalam beberapa perkara, antaranya pada 2018, iaitu sekiranya Umno terus menjalin hubungan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), tanpa berbincang terlebih dahulu dengan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg