Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha cari pelancong M’sia dilapor hilang akibat hanyut tanah runtuh di Indo

Dec 2, 2025 | 1:52 PM
cari pelancong M’sia yang dilapor hilang, dihanyut tanah runtuh di Indonesia, tragedi, banjir
Beberapa kawasan di Indonesia dilanda bencana banjir dan tanah runtuh yang teruk sejak akhir November lalu. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Usaha mencari rakyat Malaysia, Encik Asrul Nizam Apridwson, yang dilaporkan hilang dipercayai terbabit dalam insiden banjir dan tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia, pada 27 November lalu sedang giat diteruskan pihak berkuasa Indonesia.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia, terus memantau perkembangan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera Barat.

Katanya, Konsulat Jeneral mengesahkan Encik Asrul Nizam, 30 tahun, yang dilaporkan hilang selepas terbabit dalam insiden itu dan pihak berkenaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat yang sedang berlangsung.

“Maklumat awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa bersama tujuh warga Indonesia dipercayai ahli keluarga dihanyutkan oleh tanah runtuh berkenaan.

“Empat daripada penumpang warga Indonesia sudah dikesan, manakala usaha mencari rakyat Malaysia berkenaan serta tiga lagi warga Indonesia masih diteruskan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia pada 1 Disember.

Kenyataan itu menyatakan ibu bapa mangsa kini berada di Padang dan Konsulat Jeneral sedang menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga sepanjang tempoh mereka di sana.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Konsulat Jeneral turut menerima laporan orang awam mengenai tiga pelancong Malaysia di Indonesia yang gagal dihubungi membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 63 dan 64 tahun sejak 27 November lalu.

Menurutnya, maklumat awal menunjukkan mereka dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara.

“Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan kedudukan mereka dan memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh dinasihatkan supaya berwaspada setiap masa, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan serta nasihat dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, keluarga rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dan menghadapi kesukaran menghubungi ahli keluarga masing-masing digalakkan untuk segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bagi mendapatkan bantuan, khususnya memandangkan ramalan cuaca buruk yang dijangka berterusan di rantau berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg