Wakil rakyat PH tidak salur dana kepada parti, fokus bantu rakyat
Wakil rakyat PH tidak salur dana kepada parti, fokus bantu rakyat
Jimmy Puah persoal kerjasama BN-PH di Johor masih belum jelas
Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah Wee Tse, menegaskan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tidak menyalurkan peruntukan kepada mana-mana parti politik, sebaliknya bantuan disalurkan terus kepada rakyat melalui saluran sah.
Beliau berkata kenyataan tersebut sebagai respons kepada dakwaan pimpinan Umno Johor yang menyatakan wakil rakyat PH tidak membantu pimpinan Umno di kawasan.
Menurutnya, peruntukan yang diterima digunakan untuk manfaat masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
“Wakil rakyat PH, termasuk saya, memang tidak akan meluluskan peruntukan kepada mana-mana parti politik.
“Tetapi itu tidak bermakna kami menolak membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Mac.
Encik Puah berkata di Parlimen Tebrau, bantuan disalurkan melalui institusi seperti surau dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), termasuk di kawasan yang dipimpin oleh wakil Umno.
Beliau turut menegaskan kerajaan Persekutuan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan ke kampung Melayu menerusi inisiatif seperti Sejati Madani dan Kampung Angkat Madani.
“Sebagai contoh, Kampung Maju Jaya di Parlimen Tebrau menerima sekitar RM1.2 juta ($390,974) peruntukan pusat 2025 yang disalurkan melalui Pejabat Daerah dan JPKK,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan adalah mustahil pihak tertentu tidak mengetahui mengenai penyaluran bantuan tersebut.
Dalam masa sama, Encik Puah turut mempersoalkan kedudukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PH di Johor, khususnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, PH tidak pernah diajak menyertai pentadbiran kerajaan negeri Johor, berbeza dengan pendekatan di negeri lain seperti Melaka dan Selangor.
“Jika benar semangat Kerajaan Perpaduan mahu dihormati, mengapa PH tidak pernah diajak menyertai kerajaan negeri Johor?” katanya.
Beliau berkata perkara itu wajar dijelaskan bagi memastikan kerjasama politik benar-benar berasaskan keikhlasan dan bukan sekadar retorik.
“PH tidak pernah melihat BN sebagai musuh.
“Namun sehingga hari ini, BN Johor sendiri belum benar-benar menunjukkan mereka melihat PH sebagai rakan,” katanya.
Encik Puah menegaskan sebarang kerjasama politik perlu berpaksikan realiti serta kepentingan rakyat, bukan sekadar naratif menjelang pilihan raya.

