Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau mahal, lembu ‘sado’ jadi pilihan untuk korban kerana mutu daging

Lembu hibrid bertubuh tegap bersifat manja, perlu penjagaan teliti
Jun 8, 2025 | 5:30 AM
lembu sado, lembu jenis Brahman, Tayyib Ranch
Pengurus Operasi Tayyib Ranch, Encik Mohd Sahidan Sidek, 41 tahun, membelai lembu ‘sado’ daripada baka jenis Brahman yang berharga RM40,000 seekor. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap lembu hibrid pedaging atau lebih dikenali sebagai lembu ‘sado’ untuk dijadikan haiwan korban pada Aidiladha di Malaysia semakin meningkat.

Walaupun harga seekor lembu ‘sado’ menyamai harga sebuah kereta Perodua Axia – antara RM25,000 ($7,591) dan RM50,000 – mutu dan kuantiti daging yang tiga kali ganda lebih banyak daripada lembu baka tempatan membuatkan lembu ‘sado’ kian menjadi pilihan ramai.

Mungkin ramai tertanya mengapa namanya lembu ‘sado’? Bagi masyarakat Malaysia, perkataan ‘sado’ difahami secara humor untuk menggambarkan seseorang yang memiliki tubuh sasa, gagah, besar dan berotot.

Maka, gelaran lembu ‘sado’ amat popular dan sesuai untuk menggambarkan ciri lembu hibrid pedaging yang bersaiz jauh lebih besar daripada lembu tempatan dan berotot tegap.

Berkongsi perihal lembu ‘sado’ ini, Pengurus Operasi Tayyib Ranch, Encik Mohd Sahidan Sidek, 41 tahun, berkata lembu ‘sado’ terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘sado’ yang bersaiz 500 kilogram (kg) ke atas dan ‘super sado’ bermula dari 700kg sehingga maksimum seberat lebih 1,000kg.

Menurut Encik Mohd Sahidan, lembu ‘sado’ telah melalui proses kacukan pembakaan yang mana lembu tempatan disuntik dengan benih lembu daripada luar negara melalui teknologi permanian beradas.

Menurut beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang penternakan, terdapat sekurang-kurangnya enam jenis baka lembu ‘sado’ di Malaysia, antaranya Brahman iaitu antara yang paling besar saiznya; Charolais; Black Angus; Belgium Blue; Limousine; Fresian Holstien dan Blonde.

Katanya untuk 2025 ini, lembu ‘sado’ paling besar yang dijual syarikat Tayyib Ranch bagi korban Aidiladha adalah daripada jenis baka Brahman berharga RM40,000 seberat lebih 1,000kg seekor.

“Harga lembu ‘sado’ ini bermula daripada serendah RM15,000 seekor dan paling mahal RM40,000 seekor mengikut gred. Usia lembu korban pula mestilah dua tahun ke atas,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Karnival Qurban Terbesar di Malaysia, anjuran Tayyib Ranch di Shah Alam, Selangor.

Tayyib Ranch adalah antara syarikat pembekal daging premium dan lembu ‘sado’ terbesar di Malaysia dengan sekitar 30 lembu ‘sado’ dijual setiap tahun bagi tujuan korban. Selain lembu ‘sado’, Tayyib Ranch turut menjual lebih 700 lembu tempatan untuk korban Aidiladha 2025.

Menurut Encik Mohd Sahidan, populariti lembu ‘sado’ semakin meluas sehingga pihaknya turut menerima tempahan lembu ‘sado’ untuk ibadah korban daripada masyarakat Islam di negara jiran terutama Singapura.

Walaupun bertubuh tegap dan sasa, mungkin lucu untuk diketahui bahawa lembu ‘sado’ sebenarnya bersifat manja dan memerlukan penjagaan lebih teliti berbanding lembu biasa.

Kata Encik Mohd Sahidan, sesuai dengan fitrah baka lembu ‘sado’ yang kebanyakannya berasal daripada negara beriklim sejuk, lembu ‘sado’ tidak tahan cuaca panas dan sukakan perhatian serta mahu selalu ‘dibelai’.

Sebagai contoh, lembu ‘sado’ yang dibawa ke ruang pameran di karnival itu perlu dilengkapi kipas, dilap badannya dengan air sejuk setiap satu jam bagi mengelak ia tertekan kerana cuaca panas.

“Penjagaan lembu ‘sado’ di Tayyib Ranch agak teliti kerana kita mahukan lembu korban yang bermutu.

“Lembu ‘sado’ perlu lebih kerap dimandikan kerana cuaca di Malaysia agak panas dan lembu ‘sado’ ini bukan baka daripada Malaysia, tetapi negara luar yang bercuaca sejuk. Kebanyakannya dari Perancis.

“Tetapi ini tidak bermakna lembu tempatan tidak dijaga rapi, cuma ia kurang ‘cerewet’,” jelasnya.

Tidak cukup sekadar penjagaan teliti, pemakanan lembu ‘sado’ juga tiga kali lebih tinggi berbanding lembu tempatan.

“Kos makanan lembu biasa sekitar RM150 seekor untuk sebulan, tetapi untuk lembu ‘sado’ kosnya lebih tinggi iaitu antara RM400 dan RM500 sebulan.

“Lembu ‘sado’ makan antara 40kg dan 50kg makanan sehari, namun sesuailah dengan hasil dagingnya kerana seekor lembu ‘sado’ boleh bersamaan dengan empat hingga lima lembu tempatan,” ujar Encik Mohd Sahidan lagi.

Beliau menambah, haiwan itu turut diberi makanan tambahan untuk menjamin kesihatan dan mutu dagingnya.

Sementara itu, usahawan Cik Shazzuenddy Said, 33 tahun, berkata beliau teruja melihat saiz lembu ‘sado’ yang besar, namun jinak dan manja. Beliau juga sudah menyimpan niat mahu melakukan korban lembu ‘sado’ pada Aidiladha 2026 nanti.

“Ini kali pertama saya lihat lembu ‘sado’ di depan mata. Memang betul-betul besar, tetapi ia tidak menakutkan atau agresif sebaliknya manja apabila disentuh.

“Insya-Allah tahun akan datang saya berniat mahu korban lembu ‘sado’ dan boleh mula mengumpul wang kerana kosnya agak tinggi,” katanya.

Bagi Aidiladha 2025, dianggarkan lebih 56,000 haiwan korban merangkumi lembu, kerbau, kambing dan bebiri disedia untuk memenuhi keperluan korban umat Islam di Malaysia.

Ketua Pengarah Veterinar (DVS) Malaysia, Dr Akma Ngah Hamid, dilaporkan berkata jumlah itu meliputi lebih 34,000 lembu dan kerbau, serta lebih 22,000 kambing dan bebiri.

Kerajaan Selangor pula antara yang giat menjalankan tajaan ibadah korban dengan sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi mengagihkan 700 lembu serta 1,000 kambing kepada institusi agama Islam di negeri itu untuk menyempurnakan ibadah korban.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg