Wanita dari Terengganu satu-satunya pemilik ‘darah emas’ di M’sia
Wanita dari Terengganu satu-satunya pemilik ‘darah emas’ di M’sia
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dari Terengganu berusia 29 tahun menjadi satu-satunya pemilik darah jenis Rh null atau juga dikenali sebagai The Golden Blood (darah emas), iaitu kumpulan darah paling sukar ditemui di dunia.
Uniknya, darah jenis itu hanya dimiliki oleh seorang dalam enam juta penduduk dan sehingga kini dipercayai hanya 50 individu saja yang memilikinya di seluruh dunia.
Meskipun memilih untuk tidak dikenali umum, namun menerusi kerjasama Pusat Darah Negara (PDN), pemilik ‘darah emas’ itu sudi berkongsi serba sedikit mengenai ‘anugerah’ dimilikinya itu.
Menurutnya pengesahan mengenai jenis kumpulan darah itu hanya diketahuinya pada 2016, iaitu selepas menderma darah.
Akuinya memang sukar untuk mempercayai dan menerima hakikat itu pada mulanya kerana beliau adalah satu-satunya individu dengan kumpulan darah berkenaan di Malaysia.
“Namun selepas doktor memberikan penjelasan mengenai kepentingan dan keunikan kumpulan darah ini, saya mula reda serta memahami tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Sejak itu, saya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan lebih teliti kerana sedar risiko yang ada,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata pada 2024, berlaku satu kejadian tidak diingini apabila beliau terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Walaupun dalam keadaan kesakitan tetapi perkara pertama yang dimaklumkan kepada orang awam (yang datang membantu) ialah mengenai keadaan diri saya yang memiliki jenis darah sangat jarang ditemui itu.
“Maklumat berkenaan penting untuk disampaikan bagi memastikan saya mendapat rawatan yang tepat. Jujurnya, di sebalik keistimewaan memiliki darah emas ini, saya juga sedar akan risikonya.
“Contohnya apabila berkahwin dan hamil kelak, keadaan juga perlu diuruskan dengan lebih rapi serta pemantauan perubatan yang teliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berdoa supaya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada sebarang penyakit kritikal pada masa depan.
Ini memandangkan kesukaran untuk mendapatkan darah yang sepadan kerana beliau adalah satu-satunya di Malaysia memiliki darah jenis berkenaan.
“Apapun saya berharap semoga lebih ramai rakyat Malaysia tampil menderma darah kerana melalui pendermaan darahlah saya dapat mengetahui kumpulan darah sendiri.
“Semoga masyarakat dapat memahami betapa pentingnya peranan penderma darah dalam menyelamatkan nyawa,” katanya yang turut menderma darah untuk disimpan di PDN.
Difahamkan, darah jenis The Golden Blood kali pertama ditemui pada 1961 pada seorang wanita berasal dari Australia. Darah jenis ini paling universal (sejagat) dan dianggap penyelamat nyawa kerana tidak mengandungi antigen.
Sifat darah Rh null yang neutral juga mengurangkan risiko terjadinya penolakan oleh penerima semasa proses pemindahan darah.

