KOTA TINGGI: Seorang pekerja kilang dikenakan dua lagi tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganasan ISIS pada Mei, di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, pada 27 Jun.
Suhaina Sarwan, 46 tahun, hanya menjawab “faham” selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat lebih 10 anggota polis kerana kesnya adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Suhaina didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan ISIS dan perbuatan pengganasan di dalam komputer riba, di Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, pada 30 Mei, lapor Harian Metro.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memiliki bahan bacaan, iaitu lima buku, berkaitan ISIS dan perbuatan pengganasan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Blok 9, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, pada 30 Mei.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan 29 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi keputusan permohonan pemindahan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 25 Jun, Suhaina didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bersama suaminya dan seorang lagi atas lima tuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan ISIS, pada Mei.
Sementara itu pada sidang Dewan Rakyat 27 Jun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi jaminan ancaman pengganasan dalam Malaysia berada pada tahap “terkawal”.
Beliau berkata walaupun terdapat kerisauan dalam kalangan masyarakat terhadap potensi serangan pengganasan, tiada petunjuk jelas berhubung ancaman itu, sebaliknya ia lebih terarah kepada serangan ‘lone wolf’ (pengganas atau penjenayah bertindak sendirian).
Beliau berkata tahap itu lebih baik berbanding yang direkodkan sepanjang 2014 hingga 2019, iaitu tahap “kemungkinan besar”, yang bermaksud ada potensi serangan berlaku pada bila-bila masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg