Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja kebun di Muar didakwa lagi, dikena 3 tuduhan sokong IS

Jun 13, 2024 | 7:09 PM
Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31 tahun (tengah), dikawal ketat polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor, untuk tuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 13 Jun.
Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31 tahun (tengah), dikawal ketat polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor, untuk tuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 13 Jun. - Foto NSTP

MUAR: Seorang pekerja kebun yang dua kali dipenjara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, Johor, pada 13 Jun, mengikut akta sama berkaitan sokongan terhadap ISIS.

Tertuduh, Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31 tahun, yang pernah disabitkan di bawah Sosma pada 2015 dan 2017, hanya berdiam diri sejurus tiga tuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes mengikut Akta Sosma di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut tuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan Facebook atas nama ‘Abu Ibrahim’ yang kemudiannya ditukar kepada nama ‘Oyen Ucuk’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 9 pagi, 19 Disember 2023.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama membabitkan penjara sehingga 40 tahun atau denda, dan harta digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki barangan iaitu tiga gambar dikaburkan dengan keterangan menyatakan individu terbabit berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang juga pemimpin IS kelima di Facebook miliknya yang menggunakan nama sama.

Untuk tuduhan ketiga pula, dia didakwa memiliki gambar program memperingati insiden militan berkait IS yang menawan suatu kawasan di Mozambique pada 2020, juga di Facebook.

Semua kejadian itu berlaku di lokasi yang sama pada 8 malam, 26 Mac dan 9.16 malam, 30 April lalu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Bagi kededua tuduhan itu, Muhammad Sani didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama iaitu penjara sehingga tujuh tahun, manakala harta digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas.

Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik dan juga permohonan izin ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, kawalan ketat di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar dengan setiap pengunjung menjalani pemeriksaan serta merekodkan kehadiran masing-masing.

Pada Mac 2016, tertuduh, yang juga bekas pengajar Al-Quran, telah dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki 30 video berkaitan pengganas.

Dua tahun kemudian iaitu pada Julai 2018, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh atas tiga tuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg